Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Raja Perlis Seru Hayati Tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”

By 56 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bertitah agar seluruh rakyat negeri Perlis menghayati tema sambutan Maal Hijrah 1448H, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian demi melahirkan masyarakat yang diberkati Allah SWT.

Baginda bertitah kemajuan MADANI yang sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi aspek ilmu, adab, budaya, kematangan pemikiran serta keutuhan nilai masyarakat.

“Sesebuah negeri hanya akan benar-benar maju apabila rakyatnya berilmu, berintegriti, berakhlak dan bersatu padu.

“Peristiwa hijrah Rasulullah SAW perlu menjadi simbol perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik melalui keberanian, pengorbanan dan kesungguhan dalam membina masyarakat yang adil, tersusun dan bertakwa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan 2020, di sini semalam.

Turut berangkat hadir, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akshah Khalil.

Baginda turut bertitah bahawa pembangunan ummah perlu terus diberi keutamaan meliputi aspek agama, politik, ekonomi dan sosial.

Titah Baginda, kefahaman Islam yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah hendaklah diperkukuhkan, di samping memelihara budaya politik yang matang, memperkasa rakyat agar lebih berdikari serta memupuk perpaduan dan semangat kejiranan.

Selain itu, Raja Perlis mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi cabaran era moden seperti perkembangan teknologi, kecerdasan buatan, perubahan sosial dan ekonomi global dengan menjadi pencetus idea, peneraju perubahan serta penyumbang kepada kemajuan negara.

“Beta menyeru rakyat Perlis agar sentiasa melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, menjadikan pekerjaan sebagai ibadah serta menjauhi segala bentuk penyelewengan demi memperoleh keberkatan daripada Allah SWT,” titah Raja Perlis.

Mengakhiri titah, baginda mengajak seluruh rakyat negeri ini menjadikan tahun baharu Hijrah sebagai titik permulaan kepada azam dan tekad baharu dengan menghayati nilai-nilai MADANI, memperkukuh perpaduan, meningkatkan ilmu, memelihara adab dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

-RI

Tinggalkan komen anda