Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Pertandingan Boling Semai Gaya Hidup Sihat Dalam Kalangan Kanak-Kanak

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Muhammad Arief Hasbollah Amin (Marang)

MARANG, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Pertandingan boling kanak-kanak mampu menjadi medium berkesan dalam membentuk perkembangan fizikal, mental dan sosial kanak-kanak.

Ketua Komuniti MADANI Cherang Guling Rosdi Abdullah berkata program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti sukan dan rekreasi seperti boling mempunyai pelbagai manfaat terhadap perkembangan diri mereka.

Menurut beliau, permainan boling dapat meningkatkan koordinasi tangan dan mata, kemahiran motor serta mengajar nilai kesabaran, disiplin dan fokus dalam mencapai sesuatu matlamat.

“Selain membina keyakinan diri, aktiviti sebegini turut memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

“Ia juga membantu mewujudkan gaya hidup sihat sejak usia muda,” katanya di Kompleks Sukan Wakaf Tapai, di sini semalam.

Peserta dari Kampung Durian Guling Muhammad Farish Fikri Mohd Farid, 15, berkata penyertaan dalam pertandingan itu memberi pengalaman baharu selain membantu meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berinteraksi bersama peserta lain.

“Saya seronok dapat menyertai pertandingan ini kerana dapat melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

Permainan boling juga mengajar saya supaya lebih fokus, sabar dan berusaha untuk mendapatkan keputusan yang terbaik,” katanya.

Nursusiana menyambut baik penganjuran program JIWA.

Sementara itu, ibu peserta berusia sembilan tahun Nursusiana Makhtar, 40, menyambut baik pertandingan itu kerana membantu kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal selain mengurangkan masa di hadapan peranti digital.

“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan aktiviti yang membina kerana ia bukan sahaja menggalakkan mereka bergerak aktif, malah membantu membentuk keyakinan diri, semangat kerjasama dan hubungan sosial yang lebih baik,” katanya.

Dalam masa yang sama, para peserta dan ibu bapa turut diberi penerangan berkaitan inisiatif ‘Tunggu 16’ iaitu dasar Kerajaan MADANI yang menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk memiliki akaun media sosial, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi kanak-kanak daripada risiko di alam maya termasuk jenayah siber, pemangsa seksual serta kandungan berbahaya dalam talian.

Usaha memperbanyakkan aktiviti sihat dan pendidikan keselamatan digital dilihat penting dalam membantu membentuk generasi muda yang bukan sahaja aktif dan yakin diri, malah bijak menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.

-RI

Tinggalkan komen anda