Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bimbingan Berterusan Bantu Petani Moden

By 53 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Najib Juanis (Papar)

PAPAR, 16 Jul(MalaysiaAktif) – Di samping pengalaman dalam dunia pertanian, petani yang berdepan masalah di ladang boleh merujuk kepada Jabatan Pertanian Sabah untuk mendapatkan khidmat nasihat teknikal secara berterusan melalui Pejabat Pertanian Daerah.

Penolong Pengarah Pertanian, Seksyen Pembangunan Industri Tanaman Makanan Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Ahmad Petri Karabain berkata pegawai pengembangan sentiasa bersedia membantu petani menyelesaikan pelbagai isu di ladang termasuk penggunaan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman.

“Petani yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan pengurusan tanaman, penggunaan teknologi moden, penyelesaian masalah di ladang atau pensijilan pengamalan Amalan Pertanian Baik (myGAP) boleh mendapatkan bantuan daripada pegawai pertanian dari pejabat pertanian yang terdekat.

“Sokongan berterusan ini penting bagi membantu pengusaha mengaplikasikan teknologi seperti sistem fertigasi dan hidroponik, sekali gus meningkatkan produktiviti, kualiti hasil serta daya saing perusahaan pertanian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengarah Jabatan Pertanian Sabah merasmikan Kursus Transformasi Teknologi Tanaman Sayuran Penanaman Secara Fertigasi dan Hidroponik di Dewan Masyarakat Papar, semalam.

Menurutnya, kursus berkenaan bertujuan memperkenalkan teknologi penanaman moden seperti sistem fertigasi dan hidroponik selain meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan tanaman secara sistematik, penggunaan input pertanian secara optimum serta penghasilan produk yang berkualiti dan mempunyai nilai pasaran lebih tinggi.

“Peserta turut didedahkan kepada pengurusan agronomi, pengurusan perosak dan penyakit, Amalan Pertanian Baik (APB), pensijilan myGAP dan myOrganic serta amalan pengendalian racun makhluk perosak yang selamat.

“Pengalaman pengusaha yang berjaya mengusahakan sistem fertigasi dan hidroponik diharap dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk mengembangkan perusahaan masing-masing dengan lebih yakin dan berdaya saing,” tambahnya.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyampaian Sijil myGAP kepada pengusaha tanaman nanas di daerah Papar sebagai pengiktirafan terhadap pengamalan Amalan Pertanian Baik (myGAP) yang memenuhi piawaian ditetapkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Antara penerima sijil berkenaan, Yap Way Son berkata pensijilan itu meningkatkan keyakinan pengguna terhadap hasil tanamannya selain membuka peluang memasarkan produk ke pasaran yang lebih kompetitif.

“Saya berharap lebih ramai pengusaha pertanian mendapatkan pensijilan myGAP kerana mampu meningkatkan kualiti hasil dan memberi nilai tambah kepada produk pertanian,” katanya.

Selain sesi ceramah, peserta berpeluang mengunjungi ruang pameran yang mempamerkan sistem penanaman fertigasi dan hidroponik, pelbagai input pertanian serta produk hiliran BessBah sebagai rujukan kepada pengusaha tani.

-RJ-

Tinggalkan komen anda