
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Media RELA Negeri Sembilan
KUALA PILAH, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Hampir 400 orang peserta dari seluruh Negeri Sembilan dan beberapa negeri dari seluruh negara menyertai larian RELA Negeri Sembilan Fun Run 2026 di Perkampungan Budaya Terachi, di sini semalam.
Program sempena Hari Ulang Tahun RELA Malaysia ke-54, bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan masyarakat.
Menurut salah seorang peserta, Razali Ismail, 44, program yang julung kali ini mampu menarik penyertaan komuniti dalam membudayakan cara hidup dalam menjaga kesihatan fizikal.
“Saya menyertai larian ini bersama isteri dan dua orang anak saya, sebagai salah satu cara mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan antara kami dan juga mengenali kawan-kawan baharu,” katanya.
Peserta dibawa mengelilingi sawah padi yang terbentang luas dan kawasan kampung yang masih memelihara keaslian rumah tradisional Negeri Sembilan.
Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri Omar Mokhtar A. Manap, Timbalan Ketua Pengarah Operasi RELA Malaysia Syamsul Badrin Mohsin dan Pengarah RELA Negeri Sembilan Senin Sadie.
-RI




