Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Karnival Keluarga Harmoni Kasih MADANI Perkasa Penyampaian Maklumat Kepada Rakyat

By 31 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Adelaidah Arshad/Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Karnival Keluarga Harmoni Kasih MADANI menjadi platform memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat menerusi penerangan mengenai pelbagai dasar, inisiatif dan perkhidmatan secara bersemuka dalam suasana santai serta mesra keluarga di Dewan D’Tasik, Sri Rampai, di sini semalam.

Program yang merupakan inisiatif di bawah Belanjawan 2026 Malaysia MADANI hasil kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia, Yayasan Sime Darby, Merdeka Centre serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu turut menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan peringkat usia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh wakil Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Parlimen Setiawangsa, Mohammad Faidzal Ibrahim.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur melihat kehadiran masyarakat yang begitu menggalakkan. Seawal pagi lagi orang ramai hadir bersama ahli keluarga untuk menyertai pelbagai aktiviti yang telah disediakan. Sambutan ini membuktikan program berteraskan komuniti seperti ini masih mendapat tempat di hati rakyat.

“Saya berharap penganjuran seperti ini dapat diteruskan kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi platform terbaik untuk menyampaikan maklumat yang tepat mengenai dasar, inisiatif dan isu-isu semasa kepada masyarakat,” katanya.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan penjelasan secara terus mengenai pelbagai dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan di samping menyertai pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan asas, pameran agensi, eksplorasi Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), aktiviti kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ditemui, Amira Chee On, 38, berkata beliau sanggup datang dari Klang bersama dua orang anaknya dan adiknya bagi menyertai program tersebut.

“Saya sangat gembira dapat hadir ke program ini. Walaupun kami datang dari daerah lain, kami tetap dialu-alukan untuk menyertai semua aktiviti yang disediakan. Program seperti ini sangat baik kerana berjaya menghimpunkan seisi keluarga dalam suasana yang harmoni. Kami juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat dan pengetahuan daripada agensi-agensi yang terlibat. Saya berharap lebih banyak program seperti ini akan diadakan pada masa hadapan,” katanya.

Antara jabatan dan agensi yang turut mengambil bahagian ialah Jabatan Penerangan Malaysia, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

Penganjuran Karnival Keluarga Harmoni Kasih MADANI membuktikan pendekatan santai dan mesra keluarga mampu menjadi medium berkesan dalam mendekatkan rakyat dengan perkhidmatan kerajaan serta menyampaikan maklumat yang sahih mengenai pelbagai dasar, inisiatif dan isu semasa.

-AA-

Tinggalkan komen anda