
Oleh: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi & Mohd Hanif Ahmad
MERSING, 4 Januari (Malaysiaaktif) – Guru-guru yang mengajar di Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu masih menanti kebenaran dari Jabatan Laut untuk menyeberangi laut bagi meneruskan sesi persekolahan 2017 di sekolah masing-masing ekoran fenomena ombak besar yang melanda perairan Mersing.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kategori pertama angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berbahaya kepada bot-bot nelayan dan aktiviti laut.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi, N Aniham Abdul Majid, berasa sedih kerana belum memulakan sesi persekolahan 2017.
“Buat masa ini, kesemua guru berada di tanah besar dan tujuh murid kami berada di pulau menanti kami tiba,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Aur, Nordin Abdul Rahman berkata, apabila musim tengkujuh tiba, semua guru perlu membawa kelengkapan sekolah dan keperluan peribadi yang mencukupi bagi tempoh beberapa bulan.
“Bertugas sebagai guru di Pulau ini banyak cabarannya kerana jika kami masuk pada 3 Januari, kami akan dapat keluar semula ke tanah besar Mersing pada Mac nanti. Ini kerana di sana kami tiada kemudahan bot penambang untuk keluar,” jelasnya ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif.
Menurut Ketua Pejabat laut Mersing, Muhamed Zamri Yaacob, pihaknya masih menanti notis amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan semua guru bakal dimaklumkan awal.
“Kalau dapat kebenaran, pagi esok (hari ini) guru-guru boleh bertolak ke sekolah masing-masing,” katanya.
– AH