
Oleh: Nurul Wahida Mohamad Noor (Bukit Mertajam)
BUKIT MERTAJAM, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 100 peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti konvoi dari hentian rehat dan rawat (RNR) Juru menuju ke Ibu Pejabat Mforce Bike Holdings Sdn Bhd sempena Majlis Pelancaran SYM Gempaq Penang 2.0 semalam.
Seorang peserta konvoi yang berasal dari Kuala Lumpur bersama 15 ahli kelabnya, Raziff Abu Bakar, menyatakan keterujaannya untuk mengambil bahagian dalam program yang telah dirancang pada bulan April nanti.
Tambah Raziff, dia berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi menjalinkan hubungan ukhuwah dan siraturahim dengan sahabat-sahabat dari seluruh negeri.
Program Penang Gempaq 2.0 yang dijangka akan diadakan pada 1 April 2017 di Tapak Ekspo Seberang Jaya bakal menghimpunkan ribuan jenis motosikal jenama SYM dari seluruh Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.
Menurut Pengurus Logistik, Mohamad Fauzie Abd. Rahman, program ini diadakan bagi menghargai semua pengguna setia motosikal jenama SYM.
Katanya, motosikal jenama SYM telah mendapat sambutan dalam pasaran tempatan dan syarikat telah berjaya menguasai jualan sebanyak 15 peratus dalam pasaran, di samping menduduki carta ke-3 selepas jenama Kawasaki dan Honda.
Fauzie yang ditemui wartwan Malaysiaaktif turut menegaskan bahawa aktiviti menunggang motosikal bukanlah satu aktiviti yang berbahaya.
Tambah Fauzie, dia turut berasa bangga dengan pencapaian Mforce Bike Holdings Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2008 dan mula beroperasi pada tahun 2009 kerana merupakan milik anak tempatan.
Turut hadir, penaung Kelab Komuniti Sehati Sejiwa, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.
– AH