Skip to main content
Berita TempatanSabah

Inisiatif Solar Beri Pulangan Kepada SRJK (C) Chung Hwa

By 6 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Asmidar Zainol / Foto : Shavian Muhammad Razali (Sabah)

KOTA BELUD, 6 Feb (Malaysiaktif) –Peningkatan kos penggunaan elektrik yang dirasai ketika ini sememangnya agak membebankan, pelbagai alternatif dan peringatan diberi dalam usaha mengawal penggunaan elektrik berlebihan.

Namun, beban ini boleh dikatakan tidak lagi memberi tekanan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa, di daerah ini.

Hal ini kerana pemasangan Panel Solar di sekolah terbabit bagi mendapatkan tenaga boleh diperbaharu (RE) mampu menjimat dan menjana pendapatan sekolah terbabit.

Menurut Guru Besar SRJKC Chung Hwa, Sally Tham Hung Chin, pihaknya menyambut baik usaha berkenaan dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat.

Rahman (tengah) dan isteri, Datin Seri Norazalina Awang Had (depan, lima dari kanan), Musbah (depan, empat dari kiri), Sally (depan, empat dari kanan), Wong (depan, tiga dari kanan) dan Daud (depan, dua dari kanan) memotong reben sebagai tanda merasmikan sistem panel solar di sekolah berkenaan.

Rahman dan isteri, Norazalina Awang Had merasmikan sistem panel solar di sekolah berkenaan.

“Hasil pendapatan daripada RE ini nanti akan digunakan untuk kebajikan murid dan kakitangan di sekolah berkenaan.

“Dengan adanya panel solar di sekolah ini banyak memberi kebaikan kepada pengurangan kos pengurusan sekolah terutama dari aspek penggunaan bekalan elektrik.

“Jika dahulu sekolah hanya berbelanja bagi penggunaan bekalan elektrik tetapi kini agak berbeza kerana kita bukan sahaja boleh menggunakan elektrik pada kadar yang rendah malah dapat menjana pendapatan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, pemasangan panel solar tersebut bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan wang ringgi tetapi juga dapat menjana pendapatan seterusnya menjaga alam sekitar.

“Ini ialah inisiatif Pejabat Ahli Parlimen Kota Belud dengan kerjasama pihak Cypark Resources Berhad (Cypark) melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu pihak sekolah menjimatkan penggunaan elektrik dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharu.

Rahman (tiga dari kiri) dan isteri (dua dari kanan) serta tetamu jemputan tidak melepaskan peluang mengaul Yee Sang di Pesta Angpau 2017.

Rahman (tiga dari kiri) dan isteri (dua dari kanan) serta tetamu jemputan tidak melepaskan peluang mengaul Yee Sang di Pesta Angpau 2017.

“Selain mendidik pelajar-pelajar sekolah tentang RE, pihak sekolah juga dapat membantu menjana pendapatan mereka sehingga RM1,300 sebulan atau kira-kira RM 15,000 setahun untuk jangka masa 25 tahun akan datang.

“Projek ini juga dapat membantu dalam menjaga alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan karbon dioksida (CO2).

“Pada hari ini sahaja, 0.05 tan CO2 dapat dikurangkan dan ini menunjukkan seolah-olah pihak sekolah menanam sebatang pokok pada setiap minggu,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pesta Angpau 2017 di sini, pada Sabtu.

Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud turut memaklumkan projek berkenaan merupakan sebuah projek ‘Menang, Menang’ kerana dapat memberi manafaat kepada Cypark, pihak sekolah dan alam sekitar.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda