
Oleh: Genda Sating/Foto: Jaed Tepus & Cassidy Lisut
LUNDU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Puan Sri Jamilah Anu dalam Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu dianggap sebagai mampu meneruskan legasi dan usaha Tok Nan selama ini.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Najib Razak, ketika Majlis Pelancaran Medan Selera Lundu pagi tadi.
Najib turut menyeru agar penduduk memberi sokongan penuh dan keluar mengundi beramai-ramai bagi memilih calon Jamilah Anu yang bukan sahaja sebagai isteri Tok Nan tetapi popular di Tanjong Datu
“Pemilihan ini bukan dibuat atas dasar dinasti keluarga tetapi melalui kajian yang dilakukan oleh pucuk pimpinan BN Negeri, ternyata Jamilah mempunyai populariti yang tinggi di kawasan Tanjong Datu.”
“Lagipun Jamilah memang dekat di hati rakyat dan dikenali sebagai seorang yang peramah, ceria dan banyak membantu Arwah Tok Nan sebelum ini,” tambahnya.
Sementara itu, Medan Selera Lundu yang mengambil masa selama sembilan bulan untuk siap bermula pada awal April 2016 dan siap awal Januari lalu dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM4.2 juta.
Medan Selera Lundu dapat menempatkan 25 unit gerai menjual makanan dan minuman dan mempunyai sebanyak 378 tempat duduk, surau dan tandas lelaki serta wanita, tempat pembuangan sampah dan 85 unit meletak kenderaan dan 17 unit parkir motorsikal.
Bagi penduduk Kg Stunggang Dayak, Julie Niel anak noel, 40 dan Linda Wilfred, 49, kebanyakan makanan yang dijual bercirikan makanan tradisional Sarawak yang ditempatkan dalam sebuah bangunan yang selesa.
“Medan selera ini menunjukkan Pekan Lundu ada bangunan baharu. Kalau dulu tapak lama, bersepah-sepah. Bangunan seperti ini yang kami tunggu-tunggu.
“Dari segi makanan, suasana, dari segi infrastruktur medan selera ini agak teratur dengan meja dan kerusi yang lebih selesa untuk makan malam dan tengah hari. Kebanyakan mereka yang berniaga di tempat lama yang meneruskan perniagaan di sini. Ada ulam, nasi kampung, ada belacan, ada juga yang menjual udang galah asli Sarawak,” jelas mereka lagi.
Dalam pada itu, pada majlis itu Najib mengumumkan sebanyak RM129 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Luar Bandar untuk pelaksanaan Projek Pemasangan Paip Retikulasi, Pembinaan Loji Air serta Stesen Pam Penggalak untuk kawasan Tanjong Datu dan Tasik Biru.
“Proses tender akan dikeluarkan selewat-lewatnya tahun hadapan sebaik sahaja reka bentuk pelan projek tersebut selesai.
Najib juga dalam ucapannya turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM580 juta bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang melibatkan jambatan dari Sematan ke Teluk Melano atas jasa arwah Tan Sri Adenan Satem sebelum ini.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukkan tambahan sebanyak RM580 juta pembinaan Lebuh raya Pan Borneo bagi membina jalan raya dan enam buah jambatan dari Sematan ke Teluk Melano walaupun pada asalnya projek ini tiada dalam pelan pembinaan lebuh raya tersebut.
“Namun atas usaha arwah Tan Sri Adenan Satem bagi memperjuangkan hak rakyat kawasan tersebut, Kerajaan Pusat telah bersetuju meluluskan peruntukan ini.
“Jasa Tok Nan begitu besar. Bukan sahaja kepada penduduk di Tanjong Datu tetapi juga kepada rakyat di negeri ini. Inilah semangat memperjuangkan hak rakyat Bumi Kenyalang oleh Tok Nan,” ujarnya.