
Laporan & Foto Oleh : Wenny Di Tian Soh (Sabah)
KENINGAU, SABAH, 12 Feb. (Malaysiaaktif) – Seramai 200 pekebun kecil getah di kawasan parlimen Pensiangan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) pada Majlis penyampaian bantuan berkenaan di Dewan Masyarakat Sook pada jumaat.
Para pekebun kecil yang menerima bantuan berjumlah RM200 sebulan selama tiga bulan bermula november ini menyambut baik pemberian berkenaan.
Penerima bantuan Lapai@ Julian Sitiong, 67, dari Kampung Kiulu Baru Sook, melahirkan rasa gembira kerana terpilih untuk menerima bantuan tersebut.
Katanya, bantuan tersebut pastinya dapat meringankan beban yang ditanggung sebagai pekebun dan penoreh getah akibat tidak dapat menoreh pada musim berkenaan.
“Setiap kali keadaan cuaca tidak baik saya memang tidak dapat turun menorah dan ini menyebabkan saya tidak memiliki hasil untuk dijual bagi memperolehi pendapatan.
“Apabila tiada pendapatan menyebabkan kami sekeluarga sukar untuk membeli barangan keperluan harian dan bantuan ini banyak membantu kami sekeluarga,” ujarnya semasa ditemui pada majlis berkenaan.
Seorang lagi pekebun kecil, Fellydina Pamiang, 31, dari Kampung Malampoi, Nabawan, turut meluahkan rasa terima kasih terhadap bantuan yang diterimanya.
Katanya, bantuan ini membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi para pekebun kecil dan penoreh getah.
“Saya merasa amat gembira dan ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan nasib penoreh apabila tidak dapat menoreh terutama di musim cuaca yang tidak baik,” luahnya.
Tambahnya lagi, walaupun bersyukur atas bantuan ini, di harap kerajaan terus mempelbagaikan insentif pengeluaran getah (IPG) untuk membantu pekebun kecil terutama kepada pekebun yang kurang pendapatan.
“Intensif ini penting bagi menggalakkan lagi lebih ramai pekebun kecil terus mengusahakan kebun masing-masing selain mendedahkan para pekebun terhadap bidang keusahawanan,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana menteri merangkap Ahli Parlimen P.182 Pensiangan, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup berkata, para pekebun seharusnya bersyukur kerana kerajaan bersetuju meneruskan pemberian bantuan ini.
“Ini kerana kerajaan sedar nasib pekebun yang berhadapan dengan hasil tidak menentu disebabkan harga pasaran getah yang tidak stabil serta kesukaran pada musim tengkujuh.
“Oleh itu, bagi meringankan beban tersebut kerajaan meneruskan pemberian bantuan selama tiga bulan bermula november ini.
“Diharap bantuan ini dapat dimanfaatkan para pekebun bagi mempastikan kebajikan pekebun terbela,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kerajaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu para pekebun getah ini seperti melalui pelaksanaan penetapan harga ladang supaya pekebun kecil mendapat harga yang lebih baik.
Selain itu, kerajaan turut mempertingkatkan infrastruktur bagi memudahkan kutipan ‘lateks’ (susu getah) dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM30 juta dalam bajet 2018.
“Kerajaan turut mempelbagaikan kajian dengan menggunakan adunan getah dan bintumen (sejenis tar) dalam pembinaan jalanraya atau ‘Rubberreside Road’ sebagai usaha berterusan mempertingkatkan keperluan hasil getah” jelasnya.
“Pada masa sama kerajaan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan negara pengeluar utama getah seperti Thailand dan Indonesia bagi melaksanakan insentif pengeluaran getah (IPG) kepada pekebun kecil,” katanya lagi semasa merasmikan majlis berkenaan di Dewan Masyarakat Sook.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah, Datuk Harris Mathews yang ditemui turut berkata, para pekebun kecil seharusnya memanfaatkan bantuan yang diterima sebagai usaha kerajaan meringankan beban kewangan mereka terutama apabila musim tengkujuh.