Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Merokok Umpama Membakar Diri Sendiri, Keluarga Dan Masyarakat

By 3 Julai 2018Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan foto oleh: Zaidi Jamin

 

KOTA KINABALU, 3 Jul (Malaysiaaktif)-Merokok umpama membakar diri sendiri, sehubungan itu amat penting semua pihak terutama golongan ibu bapa memainkan peranan mencegah budaya tidak sihat agar tidak mempengaruhi anak-anak dan ahli keluarga masing-masing.

Musbah haji Barahim

Musbah haji Barahim

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Musbah Barahim berkata amalan dan budaya merokok merugikan banyak pihak bukan kepada diri perokok sahaja sebaliknya merugikan keluarga, masyarakat, agama dan negara.

“Merokok dalam apa jua bentuk pasti memudaratkan kesihatan, bukti saintifik menunjukkan tembakau terutamanya rokok, mengandungi lebih 4,000 jenis racun dan merupakan faktor risiko yang sangat mengancam nyawa perokok selain menjejaskan kesihatan awam dan menggugat kesejahteraan masyarakat.

“Generasi muda khususnya pelajar sekolah sewajarnya jauhi sebarang niat terhadap rokok, anggaplah rokok dan tembakau seperti racun, setiap pembakaran terhadap sebatang rokok sama seperti kita membakar diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Musbah berkata demikian semasa menyampaikan ceramah Kesan Budaya Merokok pada majlis perasmian sambutan Minggu Tanpa Tembakau Peringkat HQE bertempat di Auditorium, Menara Berkembar HQE baru-baru ini.

Dr. Irene Chau

Dr. Irene Chau

Terdahulu Timbalan Pengarah Klinikal II, Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Irene Chau berkata, perokok bukan sahaja terdedah dengan pelbagai penyakit kronik malah sentiasa terdedah dengan risiko serangan penyakit jantung yang serius dan boleh mendatangkan maut.

“Berpandukan data kajian ekonomi kesihatan, anggaran kos rawatan bagi tiga jenis penyakit akibat tembakau iaitu sakit jantung, kanser paru-paru dan kerosakan paru-paru kronik adalah mencecah lebih RM3 bilion setahun.

“Kesan kepada kejadian penyakit ini, kerajaan terpaksa menanggung kos rawatan yang terus melambung tinggi setiap tahun, membawa kerugian dan pembaziran, menjejaskan produktiviti dan hilang keupayaan bekerja selain kematian mengejut atau pramatang kalangan para perokok,”ujarnya.

Tambahnya, merokok dalam apa jua bentuk bukan sahaja memudaratkan kesihatan diri sebaliknya masalah akibat tembakau telah menjadi isu kesihatan awam sekali gus menggugat kesejahteraan masyarakat sekeliling.

“Program Sambutan Minggu Tanpa Tembakau yang disambut setiap tahun bukan sekadar program menggalak perokok berhenti merokok semata-mata,  sebaliknya bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan awal kepada orang ramai terutama generasi muda agar mengekalkan status tidak merokok dan menjauhi diri daripada sebarang pengaruh tembakau terutama rokok.

Pelajar turut diberi taklimat berhubung hukuman sebat terhadap pesalah melibatkan penyalahgunaan dadah oleh Pengawai Penguatkuasa Jabatan Penjara Kota Kinabalu.

Pelajar turut diberi taklimat berhubung hukuman sebat terhadap pesalah melibatkan penyalahgunaan dadah oleh Pengawai Penguatkuasa Jabatan Penjara Kota Kinabalu.

“Pihak hospital turut menawarkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok bertempat di aras 1, Bangunan Klinik Pakar, HQE bagi individu yang ingin berubah dan menjauhi diri dari rokok, perkhidmatan klinik ini boleh didapati pada waktu pejabat bermula Isnin sehingga Jumaat.

Irene (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan sejurus melancarkan sambutan bersama staff dan wakil pelajar daripada pusat mengajian tinggi.

Irene (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan sejurus melancarkan sambutan bersama staff dan wakil pelajar daripada pusat mengajian tinggi.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah memberi pengetahuan dan kemahiran kepada perokok untuk berhenti merokok di samping memberi motivasi berterusan agar bekas perokok terus mengekalkan status tidak merokok sepanjang hayat,”jelas Irene.

Dengan tema ‘Tembakau dan Penyakit Jantung – Ke Arah Generasi Tanpa Merokok’ Program Sambutan Hari Tanpa Tembakau peringkat HQE turut diisi dengan ceramah motivasi serta perkongsian pengalaman menarik kalangan pelanggan klinik yang berjaya berhenti merokok melalui perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok hospital.

Sambutan turut diserikan dengan pameran pelbagai maklumat berkaitan kesan buruk tembakau termasuklah agensi kerajaan daripada Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Turut hadir memeriahkan majlis adalah kalangan para pelajar serta guru sekolah sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda