
Laporan oleh: Asmidar Zainol/Foto: Jeffren Malaning
Kota Kinabalu, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Warga pendidik di Sabah menyokong sepenuhnya kepimpinan kerajaan masa kini, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.
Menurut beliau sokongan berkenaan sebagai langkah untuk meningkatkan prestasi pendidikan di negeri ini.
“Sebagai penjawat awam kerajaan, saya bersama warga pendidik menyokong sepenuhnya kepimpinan kerajaan pusat dan barisan kepimpinan negeri sebagai langkah untuk meningkatkan prestasi pendidikan di negeri Sabah.
“Saya berharap semua pengetua dapat menyampaikan mesej ini kepada guru dan warga pendidikan kerana sebagai penjawat awam kita bertanggungjawab memastikan dasar-dasar dilaksanakan untuk memenuhi aspirasi rakyat dan juga kehendak masyarakat dalam meneruskan kecemerlangan pendidikan,” jelasnya.
Maimunah turut berharap sekolah-sekolah akan merancang program bersasarkan kesesuaian kepada sekolah-sekolah berdasarkan kepelbagaian infrastruktur sekolah berkenaan.
“Cabaran di kawasan pendalaman tidak sama dengan cabaran sekolah di Kota Kinabalu atau di bandar lain. Oleh itu, kita galakkan sekolah-sekolah di pendalaman mengadakan program berdasarkan situasi semasa di sekolah masing-masing bagi menjana kecemerlangan pelajar dalam ruang lingkup Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
“Saya yakin dan percaya semua 218 pengetua di Sabah yang bersidang pada tahun ini dapat melaksanakan transformasi di sekolah masing-masing selaras dengan tema persidangan iaitu ‘Pengetua Pemacu Transformasi Pendidikan’,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Makan Malam Tabi Raya Moginakan.
Majlis tersebut ialah sempena Persidangan Pengurusan Pendidikan Persatuan Pengetua Sekolah-Sekolah Menengah Sabah dan Labuan Kali ke-42 yang turut dirasmikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob di sini, pada Selasa malam.
-MRR