Skip to main content
HomeSabah

Keindahan Wajah Kinabalu Kekal Tema Kinabalu Photo Festival 2018

By 5 Disember 2018Tiada komen8 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Masih mengekalkan Gunung Kinabalu sebagai tema pertandingan sejak 5 tahun lalu, Kinabalu Photo Festival (KPF) berlangsung lagi untuk kali ke-3 bermula 4 hingga 9 Disember ini.

Corak pertandingan yang mudah dengan hanya perlu memuat naik gambar di laman sosial facebook atau instagram dengan tanda pagar #kinabalukukpf18 yang diberi mampu menarik banyak penyertaan sejak dibuka pada 28 November lalu.

Menemui Penganjur, Mohd Idramzizan Idris atau lebih dikenali dengan nama Jebat, katanya penganjuran KPF kali ini ternyata mengujakan kerana lebih banyak pengisian yang dilakukan melibatkan nama-nama hebat dalam bidang fotografi.

“Pertama kali kami anjurkan KPF pada 2014 dengan nama Kota Kinabalu Photo Week selepas mendapat inspirasi daripada Photobooth Show di Singapura dan juga Angkor Photo Festival pada tahun yang sama.

“Penganjuran pertama KPF hanya mengadakan pameran di Kompleks Membeli Belah sebelum membuat penambahbaikan dengan menyediakan bengkel bersama mentor dalam penganjuran kali kedua pada tahun 2016 bertempat di Gaya Street.

“Lokasi kedua ini lebih terbuka supaya orang ramai boleh turut serta menikmati pameran yang disediakan, malahan foto yang dipamerkan turut mendapat permintaan daripada pelancong luar.

“Pameran ini kami utamakan kepada warga Borneo tetapi khas untuk orang Sabah, dan bayangkan di negeri ini ada 34 budaya daripada 25 daerah, jadi penceritaan itu pasti berbeza-beza,”ujar Jebat.

Menurutnya, untuk kali ini, pameran akan dibuka setiap masa dan boleh dilihat di tingkat 13, Wisma Bandaran malahan jadual selama enam hari itu akan dipenuhi dengan bengkel daripada mentor-mentor tempatan seperti Shamshahrin Shamsuddin dan luar negara seperti Ahmad Deny Salman dan Agah Permadi dari Indonesia dan Ahim Rani dari Brunei.

Shamshahrin dan Jebat mengharapkan jurufoto tempatan tidak lepaskan peluang bersama KPF

Shamshahrin dan Jebat mengharapkan jurufoto tempatan tidak lepaskan peluang bersama KPF

Pada waktu yang sama, terdapat beberapa pameran solo ditempatkan di sekitar Kota Kinabalu antaranya seperti Fruito yang terletak di Jalan Dewan, Kedai gunting rambut yang terletak di Gaya Street, Cafe Thirty7 di Jalan Bandaran dan di bangunan Wisma Bandaraya sendiri.

“Pameran solo ini ialah satu budaya yang kami ambil daripada Angkor di mana juru foto boleh mendengar ulasan pengunjung mengenai foto miliknya supaya terdapat komunikasi dua hala di situ.

“Kami berharap supaya ada orang Sabah berjaya membawa karya mereka ke Festival Foto Angkor yang bermula pada 8 Disember ini, dan saya anggap KPF ini sebagai batu loncatan untuk mereka.

“Festival Angkor ini merupakan tempat yang payah untuk ditembusi, tapi kita harap orang tempatan kita ada ruang itu dan kita berharap jika peluang itu sudah diperoleh, dia akan kembali ke Sabah dan buat sesuatu seperti buku foto atau table book untuk dikongsi kepada komuniti kecil di sini kerana pada dasarnya, KPF ini memang kepada pendidikan.

“Tambahan pula, salah seorang mentor iaitu Shamshahrin merupakan salah seorang juru foto yang berjaya dan punya anak didik yang kini merupakan juru foto antarabangsa,”katanya.

Menurut Jebat, KPF kali ini turut mendapat respons yang baik daripada ramai juru foto antarabangsa, tetapi KPF tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membawa mereka untuk berkongsi ilmu, namun begitu, pada aktiviti screening nanti, KPF akan paparkan salah satu hasil karya daripada juru foto Jepun yang di email kepada mereka.

Penyertaan untuk bengkel KPF juga masih mendapat banyak permintaan, dan modul pula adalah terpulang kepada mentor masing-masing, namun mereka bersetuju agar sesi bengkel tidak terikat dengan jadual dan akan dijalankan secara santai.

Tambahnya, dana untuk tahun ini ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yayasan Sabah dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi.

Shamshahrin tidak lokek berkongsi pengalaman menjadi juru foto

Shamshahrin tidak lokek berkongsi pengalaman menjadi juru foto

Dalam pada itu, penasihat KPF, mentor dan juga juru foto antarabangsa, Shamshahrin tidak lokek berkongsi kisah dan pengalamannya sepanjang hampir 30 tahun serius dalam industri fotografi.

“Saya lebih mengkhusus kepada photojournalism, dan minat dalam bidang ini sejak kecil kerana gemar melihat gambar-gambar yang terpapar di dalam surat khabar dan ketika itu, saya turut memasang niat supaya gambar saya pula akan dipaparkan suatu hari nanti, walaupun ketika itu saya tidak tahu bagaimana caranya.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), setahun saya bekerja dan mengumpul duit untuk membeli kamera sendiri dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang fotografi.

“Zaman itu belum lagi zaman Internet, dan saya selalu membelek majalah dari luar negara, ketika itu saya memasang niat pula mahu menjadi juru foto berita antarabangsa, tetapi masih tidak tahu bagaimana caranya, tapi saya perlu pastikan saya dapat menghasilkan karya yang baik supaya dapat pekerjaan selepas tamat belajar tanpa perlu membuang masa,”ujarnya memulakan cerita,

Kata Shamshahrin, tahun akhirnya di UiTM dia memperjudikan kehidupannya bagi mendapatkan karya yang baik dengan menjelajah ke hutan Pahang bagi mendapatkan gambar kehidupan orang asli nomad yang ada di sana.

Dengan wang simpanan hasil kerja sampingan yang dilakukan di UiTM, kira-kira RM2,000 dibelanjakannya untuk membayar upah malim serta bekalan makanan selama sebulan di dalam hutan.

“Jika difikirkan semula, ada kalanya saya merasakan agak kurang waras untuk saya meneruskan niat itu, setiap hari di dalam hutan, menu yang sama saya telan selama sebulan iaitu bubur nasi dan air teh kosong.

“Tetapi saya nekad dan apa yang penting ketika itu, saya mampu meneruskan hidup dan dapat keluar dengan hasil karya yang baik, menggunakan kamera yang saya beli sendiri iaitu Yashika FX-3 yang bernilai RM700.

Antara koleksi foto bawah laut daripada pempamer Rudy Matahari

Antara koleksi foto bawah laut daripada pempamer Rudy Matahari

“Selesai menamatkan pengajian, saya mula bekerja di syarikat akhbar tabloid, dalam tempoh itu juga saya menerima tawaran daripada Reuters dan Associated Press (AP), tetapi saya tolak sehinggalah saya terpaksa menerima tawaran daripada Agence France-Presse (AFP) pada tahun 1999 atas nasihat seorang rakan selepas hampir lima tahun di syarikat akhbar,” katanya.

Menurutnya, apa yang menarik bekerja dengan agensi luar ialah mereka banyak mengubah minda dan caranya berfikir dan melihat sesuatu.

“Pertama kali saya berkunjung ke Sabah pada tahun 1999 kerana mendapat tawaran daripada agensi tempatan untuk membuat Travel Photography dan selepas itu sering ke sini serta berkenalan dengan ramai juru foto daripada Borneo menerusi platform forum yang biasa digunakan ketika itu.

“Situasi ketika itu saya melihat banyak foto kajian mengenai Sabah yang diterbitkan oleh orang luar dan bukan oleh rakyat tempatan, umpama kita buka rumah dan jemput orang luar untuk kaut hasil kita dan kerana itu saya cuba membantu untuk membuka minda juru foto di sini.

“Saya cuba memberi kesedaran supaya juru foto tidak lagi dalam lingkungan yang sama yang hanya mengambil foto model atau perkahwinan kerana sumber di sini sebenarnya banyak, sama ada dalam konteks photo jurnalism, travel photography, tetapi mereka tidak nampak, dan kalau ada yang dapat merakam karya yang baik, tetapi tidak tahu hendak jual ke mana” jelasnya.

Kata Shamshahrin, kekangan minda juru foto tempatan juga agak kritikal kerana mungkin sebagai generasi terjajah, pandangan kita kepada orang luar yang beranggapan mereka lebih baik ada kalanya merencatkan perkembangan.

“Saya dahulu pun takut juga, tapi bila sudah masuk AFP dan bersaing dengan juru foto dari seluruh dunia, saya lihat laporan setiap hari gambar saya telah digunakan dan di situ kita lihat sebenarnya kita tidak kalah pun dengan orang luar hanya cuma perlukan pola berfikir kita.

“Maka, untuk KPF ini sendiri kami cuba untuk melahirkan juru foto yang peka kepada persekitaran, dan sudah tentu juga kita cuba bawa mentor-mentor dari luar untuk sesi buka minda. Harapan saya lebih banyak penyertaan daripada jurufoto tempatan.

“Kebiasaannya setiap bengkel yang dibuat pasti mengenakan bayaran yang mahal, tetapi di Sabah ini kita beri percuma. Saya risau jurufoto tempatan tidak menyambar peluang yang diberikan peluang yang diberikan dan ini sebenarnya agak membimbangkan kerana dua tahun kebelakangan ini ramai peserta dari semenanjung yang mahu turut serta,”katanya.

Tambah Shamshahrin, bagi pengisian bengkelnya sepanjang KPF ini, beliau akan kendalikan asas photo jurnalism dan mobile photography, serta memberi penekanan dan pemahaman kepada asas kewartawanan foto dan bagaimana asas itu pula digunakan untuk menghasilkan gambar yang mempunyai nilai berita.

Tambahnya juga, seperti kerjaya lain, menjadi juru foto juga mempunyai masa depan, apa yang penting lakukan tugasan itu dengan serius, fokus dan tidak hanya sekerat jalan.

EM

Tinggalkan komen anda