
Laporan/foto: Salleh Immun/Azizi Bohari (Sarawak)
KUCHING, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Usaha Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak dalam mengedarkan risalah mengenai wabak Covid-19 mendapat respon positif daripada masyarakat.
Pengedaran risalah yang telah diolah menggunakan pelbagai bahasa tempatan menjadikan peranan petugas lapangan lebih mudah dan masyarakat yang berbilang kaum menerima baik inisiatif penggunaan bahasa tempatan dalam risalah yang disampaikan kepada mereka.
Ketua Unit Bergerak JaPen Daerah Kuching Azizi Bohari, yang ditemui baru-baru ini ketika melaksanakan Info on Wheel (IOW) di beberapa kawasan dalam Parlimen Santubong berkata risalah yang diolah dalam bahasa tempatan seperti bahasa Melayu Sarawak menjadi pilihan mereka memandangkan majoriti penduduk di sini adalah terdiri daripada kaum Melayu Sarawak.
“Penggunaan pelbagai bahasa tempatan dalam risalah seperti Covid-19 ini sememangnya memudahkan tugas kami sebagai Pegawai Lapangan dan orang ramai yang ditemui menyambut baik inisiatif JaPen menggunakan bahasa tempatan dalam bahan penerbitan yang diedarkan kepada mereka,” katanya.
Azizi Bohari pada masa yang sama tidak menolak penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama dalam setiap bahan penerbitan atau risalah yang diedarkan namun inisiatif JaPen dalam menggunakan bahasa tempatan seharusnya dipuji supaya penyampaian maklumat akan lebih mudah difahami.
“Setiap IOW yang dilaksanakan, JaPen Daerah Kuching mengedarkan sekurangnya 500 hingga 1,000 naskhah pelbagai risalah kepada orang ramai dan kebanyakkan risalah yang diedarkan telah diolah bahasa tempatan seperti bahasa Melayu Sarawak ini,” tambahnya.
Azizi turut mengesyorkan agar JaPen dapat membuat serta mengedar bahan penerbitan yang mempunyai pelbagai versi bahasa tempatan mengikut bahasa tempatan yang terdapat di negeri masing-masing.
-SH