
Laporan/foto: Nizwan Daini/Azrul Azham Azmi (Kota Kinabalu)
RANAU, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Bukan mudah memikul beban dan menjaga keselamatan pendaki, tetapi ia sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan porter dan malim gunung demi sesuap nasi.
Malim gunung merupakan individu yang bertugas sebagai petunjuk arah kepada para pendaki gunung manakala gelaran ‘porter’ diberikan kepada individu yang mengambil upah mengangkut barang atau beg, yang berdaftar dengan pengurusan Taman-Taman Sabah untuk dibawa ke kawasan pergunungan Gunung Kinabalu.
Bagi seorang porter, kekuatan fizikal dan kesihatan yang baik menjadi satu syarat, apatah lagi mendaki gunung tertinggi di Malaysia pastinya memerlukan tenaga yang sangat banyak.
Salah seorang porter di Gunung Kinabalu, Hindika Kilus, 35, telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran dalam kerjayanya sebagai Porter sejak lima tahun lalu.
“Keadaan cuaca seperti hujan menjadi cabaran utama berikutan laluan yang licin dan curam ketika mendaki ke puncak Gunung Kinabalu dengan cuaca sangat sejuk di kawasan gunung menyebabkan kadang-kala kaki akan terasa kebas.
“Namun, kebiasaannya kami hanya perlu berhenti seketika untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju,” katanya ketika ditemui di kaki gunung tersebut, di sini baru-baru ini.

Salah seorang porter sedang memikul barang-barang ketika menaiki tangga untuk dihantar ke tempat penginapan Laban Rata.
Menurut Hindika, bukan sekadar mengangkat barang, setiap porter juga bertanggung jawab dalam melaksanakan tugasan menyelamat terutama kepada pendaki yang mengalami kecederaan ketika dalam perjalanan pendakian mahupun menuruni Gunung Kinabalu agar selamat kembali ke tapak permulaan pendakian di Taman Kinabalu.
Namun, semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, perkhidmatan mereka berkurangan dan pertugasan hanya dihadkan sebanyak dua kali seminggu kerana bilangan pendaki yang terhad serta permintaan untuk mengangkat barang juga amat sedikit.
“Bayaran upah bagi seorang porter adalah RM7.00 sekilogram (kg) ketika mendaki manakala RM6.00 per kg ketika turun bagi setiap beban yang dipikul.
“Kadar itu sahajalah yang selama ini digunakan bagi kebanyakan porter bagi menampung keperluan harian keluarga,” katanya.
Sementara itu, pengalaman selama lebih 20 tahun sebagai malim gunung pastinya memberi kelebihan kepada Mikin Yundok, 50, kerana mempunyai kemahiran yang tinggi serta arif selok belok laluan ke puncak gunung yang berliku dan curam.
“Cabarannya sudah pasti tidak kurang hebatnya ketika bersama kumpulan pendaki bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang pendakian.
“Kebiasaannya porter dan malim gunung akan bertolak dari Timpohon Gate ke Laban Rata dalam jarak perjalanan pendakian enam kilometer yang mengambil masa 3 jam 30 minit manakala pendakian dari Laban Rata ke puncak gunung adalah sejauh 2.7 kilometer,” katanya.

Aziem merakamkan gambar kenangan berhampiran puncak Gunung Kinabalu ketika menunggu giliran untuk naik ke puncak Low’s peak.
Menurut Mikin, upah bayaran sebanyak RM230 sebagai pemandu arah pada ketika pandemik ini amat bermakna kerana pada ketika ini mereka hanya boleh menawarkan khidmat mereka sebanyak hanya dua kali seminggu.
“Semakin ramai pendaki, semakin banyaklah rezeki yang kami dapat, tetapi atas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada ketika ini bilangan pendaki dihadkan kepada 100 pendaki sehari.
“Sejak pandemik melanda, kebanyakan pendaki terdiri daripada pendaki tempatan yang berada dalam Daerah Ranau serta daerah yang berhampiran yang mendapat kelulusan kerajaan negeri sahaja,” katanya.
Mikin berkata, ketika ini kira-kira 200 malim gunung terpaksa mencari pekerjaan sementara termasuk berkebun bagi menyara kehidupan berikutan penutupan aktiviti pendakian di gunung tersebut.
Dalam pada itu seorang pendaki yang ditemui, Muhammad Aziem Maruf, 16, sempat berkongsi pengalaman sepanjang pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.
“Bagi saya, persiapan mental dan fizikal amat memainkan peranan penting meskipun keselamatan kita dijaga oleh malim gunung dan porter.
“Sepanjang pendakian, malim gunung akan sentiasa berada di belakang setiap kumpulan bagi menjaga keselamatan dan berada di samping pendaki yang terakhir,” katanya.
-RI