Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2021 Tarik Delegasi dari 35 Negara

By 17 Julai 2021Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: WHBC

PUTRAJAYA, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 1,000 delegasi dari 35 negara dengan perwakilan merangkumi pelbagai kerajaan, pakar industri, penggubal dasar, cendekiawan dan masyarakat madani, dijangka menghadiri Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2021 yang akan pertama kali diadakan secara maya pada September 2021.

Dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), persidangan ini akan membawa mesej kuat yang akan bergema di seluruh dunia bahawa industri halal terus berdaya tahan dan menjadi penyumbang kukuh kepada pemulihan ekonomi dunia, kata Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali.

“Justeru, pihak berkepentingan industri halal harus gigih dan tabah untuk mencartakan pertumbuhan masa depan dengan mencipta jalinan kerjasama bersinergi yang akan membawa industri halal dan prestasinya ke tahap pencapaian yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada siri webinar pertama semalam sempena acara WHBC 2021 yang akan diadakan nanti.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Bahria Mohd Tamil.

“Inisiatif Malaysia dalam mempromosikan industri halal bagi sektor ekonomi utama seperti kewangan, makanan, farmaseutikal, logistik, kosmetik dan perkhidmatan – pastinya telah menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi kita.

“Adalah penting bagi kita untuk menetapkan keutamaan dengan betul, terutama dalam fasa pemulihan ekonomi global ini. Keutamaan kita adalah memfokuskan diri pada penciptaan pekerjaan dan memperluaskan lebih banyak peluang perniagaan,” ujar Lokman.

Beliau turut menyifatkan tema WHBC 2021 iaitu “Pemangkin untuk Pemulihan Ekonomi Sejagat” adalah bertepatan sekali terutama dalam keadaan ekonomi global pada masa ini.

WHBC 2021, berserta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dijadual diadakan antara 9-12 September 2021 semasa Minggu Halal Dunia (WHW) 2021 melalui platform maya dan hibrid.

“Melalui WHW 2021, kita akan dapat mempercepat pertumbuhan dan pemeliharaan industri halal, dan seterusnya mewujudkan impak global positif yang kuat dalam perniagaan dan perdagangan. Untuk kedua-dua acara global itu, MITI bertindak sebagai hos utama bagi inisiatif-inisiatif strategik ini, ”katanya.

MIHAS, yang akan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), adalah pameran perdagangan halal tahunan yang bertujuan mengetengahkan edisi hibrid pertamanya, menggabungkan pameran maya dan fizikal sebagai satu acara hibrid yang lengkap.

“Pameran ini akan mempromosikan perniagaan syarikat tempatan kepada pengunjung profesional, pembeli, pakar yang berkelayakan, pemain industri halal dari seluruh dunia. Antara aktiviti perdagangan termasuk misi membeli dan sesi pemadanan perniagaan antara syarikat antarabangsa dan tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Lokman menjangkakan Pelan Hala Tuju Sektoral Halal dalam dua sektor iaitu farmaseutikal dan perkhidmatan makanan dijangka mampu mencapai objektif masing-masing untuk mendapatkan penerimaan dan respons daripada pihak berkepentingan awam dan swasta yang mewakili komuniti perniagaan, cendekiawan dan pengguna mengenai inisiatif berimpak tinggi hingga 2025.

Beliau menyatakan enam inisiatif utama telah dikenal pasti di bawah pelan hala tuju dalam farmaseutikal dan satu daripadanya adalah berkenaan permintaan untuk vaksin halal dalam komuniti Muslim.

“Saya difahamkan HDC dan Kelompok Kerja Sektoral (SWG)nya sedang berusaha ke arah mengembangkan industri vaksin halal yang memberi fokus kepada dasar, insentif, sumber daya dan infrastruktur. Inisiatif strategik ini telah diterima oleh Pelan Pembangunan Vaksin Negara (NVDP) yang akan menyumbang kepada kemandirian dalam jangka panjang,” katanya.

Lokman berkata inisiatif-inisiatif berimpak tinggi dari sektor halal ini diharapkan dapat mencatat pertumbuhan positif sebanyak 18 peratus kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) untuk perkhidmatan makanan dan 4.2 peratus CAGR bagi farmaseutikal menjelang 2025.

“Sektor perkhidmatan makanan (halal) dijangka mencatatkan perolehan minimum RM40 bilion dan farmaseutikal pula merekodkan pendapatan RM1.6 bilion, dengan jumlah pekerjaan diunjurkan melebihi 112,000 secara kumulatif, jumlah eksport RM440 juta dan pelaburan swasta RM550 juta pada tahun 2025 untuk kedua-dua sektor.

“Saya sangat yakin Malaysia akan menjadi penyumbang utama kepada penggunaan pengguna global bagi makanan dan produk halal memandangkan permintaan yang kian meningkat untuk produk dan perkhidmatan halal bernilai tinggi,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menambah pendekatan strategik oleh HDC menguatkan lagi komitmen kerajaan untuk meningkatkan pulangan ekonomi melalui sektor yang dipromosikan industri halal.

Lokman juga berharap aktiviti promosi dalam WHW 2021 akan membolehkan kerajaan melakukan lebih banyak lagi untuk memastikan pertumbuhan pesat dalam industri halal.

“Bagi kita di Malaysia, ekonomi halal dilihat sebagai salah satu industri strategik yang akan memberikan kesejahteraan yang lebih besar kepada rakyat.

“Sekiranya kita semua terus fokus secara strategik, kritis dan mendesak dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang tepat untuk kemajuan dan kemakmuran ekonomi, Malaysia akan dapat mencapai tujuan dan objektif ekonominya dengan lebih cepat daripada keadaan ekonomi global yang terjejas pada masa ini,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda