
Laporan/foto: Joshua Amir Sibat (Sarawak)
KUCHING, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Hasrat untuk kembali berbakti di negeri kelahiran selepas tamat pengajian membuktikan manifestasi cinta anak muda Bumi Kenyalang yang belajar di institut pengajian tinggi baik awam mahupun swasta yang menerima biasiswa Yayasan Sarawak bagi sesi 2020/2021.
Kartinie Kunyi Banyang, 20, yang berasal dari Kapit merupakan penerima biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib (BYSTT) kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menyatakan beliau sangat bersyukur serta berterima kasih kepada Yayasan Sarawak kerana menaja pengajian beliau di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
“Harapan saya ingin berkhidmat untuk tanah air sendiri setelah selesai belajar, mungkin dengan cara sebegini saya mampu bersama-sama mengecapi kemajuan, merancakkan sektor ekonomi, mengukuhkan sistem urus tadbir negeri dan menginspirasikan lebih ramai pencinta ilmu di negeri ini.
“Selain itu, saya ingin membalas balik jasa penaja dengan mendapat sekurang-kurangnya 3.0 PNGK setiap semester kerana dengan mendapat pointer yang baik akan mencerminkan saya layak menerima biasiswa tajaan Yayasan Sarawak,” kata Kartinie ketika dihubungi semalam.
Bagi tujuan penilaian calon penerima biasiswa sesi 2020/2021, Yayasan Sarawak telah mengadakan sesi temuduga secara maya, bertujuan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Dalam pada itu, pelajar Tahun 1 Fakulti Ilmu Kemanusiaan USM yang berasal dari Kanowit juga penerima tajaan YBSTAR, Winnis Sudan Julin, 21, menyatakan YBSTAR menyediakan dan memberi bantuan kepada pelajar cemerlang dalam akademik yang mengikuti kursus bukan STEM.
Memiliki harapan menggunung untuk bekerja di Sarawak setelah usai tempoh pengajian, Winnis optimis beliau mampu mengubah nasib keluarganya serta sempat berkongsi kaedah permohonan biasiswa daripada Yayasan Sarawak untuk rujukan bakal mahasiswa masa akan datang.
“Kriteria tambahan untuk memohon biasiswa ini ialah mesti aktif dalam ko-kurikulum, memiliki ciri kepimpinan yang tinggi, aktif dan menyumbang dalam kegiatan kemasyarakatan serta cemerlang dalam satu atau lebih bidang terutama dari segi kepimpinan, kemahiran dan kreativiti,” kata Winnis.
Menurut seorang penerima YBSTAR, penuntut Tahun 1 USM yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ilmu Kemanusiaan) dari Miri, Trasyana Kanyan, 21, menyifatkan bahawa biasiswa ini merupakan tajaan untuk sepanjang pengajian bagi pelajar yang berasal dari negeri Sarawak yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di IPTA atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
“Setiap pelajar yang ditaja pasti akan merasa bebanan mereka diringankan sepanjang pengajian malah bertambah lega apabila memperoleh peluang pekerjaan yang luas bagi penerima biasiswa Yayasan Sarawak.
“Oleh itu, adalah amat baik jika maklumat tentang Yayasan ini diperluaskan lagi dalam kalangan anak muda yang bakal melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dengan pendekatan ceramah di sekolah agar lebih ramai pelajar bersaing secara sihat selain menambah serba sedikit pengetahuan tentang syarat-syarat dan cara-cara permohonan,” katanya.

Francis Barnabas Abot, program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah USM, berasal dari Meluan, Julau.
Pandangan yang sama dikongsi seorang lagi penuntut USM program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar Dan Wilayah merangkap Naib Yang Dipertua 2, Rancangan Khidmat Komuniti USM dan penerima BYSTT, Francis Barnabas Abot, 22, berpendapat biasiswa tersebut sangat membantu para pelajar luar bandar lebih-lebih lagi golongan B40 yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading serta berlatarbelakangkan sumber pendapatan keluarga sebagai petani, kurang berkemampuan dan menghadapi kekangan kewangan.
“Impak yang sangat besar buat keluarga saya kerana bukan sahaja berstatus anak yatim malah impian memegang segulung ijazah seakan hanya mimpi akibat kekurangan dana, mujurlah saya terpilih sebagai penerima biasiswa ini bagi sesi 2019/2020 dan kini sinar harapan semakin cerah.
“Keadaan ini juga dapat membakar semangat pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah selain meringankan beban ibu bapa, setelah mendapat biasiswa ini, syarat utama yang pihak Yayasan Sarawak tetapkan adalah perlu berkhidmat dengan Kerajaan Sarawak selama 5 tahun sebagai tanda membalas balik tajaan yang telah diberikan,” ujar Francis yang berasal dari Meluan, Julau.
-ZS-