
Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan Drahman (Sarawak)
MATU, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Biarpun kelihatan agak usang, Rumah Panjang Melanau Sok di Kampung Sok, yang letaknya 110 kilometer daripada pusat bandar dan berusia ratusan tahun, terus kekal sebagai warisan peninggalan generasi terawal masyarakat Melanau di Sarawak.
Rumah panjang ini dibina sekitar tahun 1872 dengan hanya mempunyai empat pintu, kemudian pada tahun 1888 ianya ditambah menjadi 26 pintu keseluruhannya dan dibina secara muafakat oleh penduduk kampung.
Menurut Suhaili Abdullah, 75 tahun, sebelum kedatangan Islam, penduduk setempat mengamalkan kepercayaan Animisme.
“Hanya penghuni yang lahir dalam rumah panjang ini sahaja yang boleh melakukan renovasi serta membaik pulih rumah panjang ini dan jika mereka melanggar peraturan, dipercayai akan ditimpa musibah.
“Biarpun bahagian luarnya nampak biasa, rumah panjang ini memiliki keunikan tersendiri di mana dahulunya semua tiangnya adalah adalah daripada pokok kayu belian, namun menjadi persoalan, kita tidak tahu dari mana sebenarnya tiang itu diperoleh kerana tiada pokok spesies tersebut di daerah ini,” katanya ketika ditemui di rumah tersebut, di sini baru-baru ini.
Suhaili menjelaskan, selain ruainya yang berbeza dengan rumah panjang Iban kerana terletak di bahagian tengah, rumah ini juga dibina tinggi bertujuan melindungi keselamatan penghuninya daripada ancaman musuh.
“Dulu, rumah ini cukup meriah, di ruai inilah tempat kami berkumpul beramai-ramai sambil mendengar cerita orang tua, ada yang duduk berehat serta berbual dan ada yang membaiki alat menangkap ikan serta menganyam atap rumbia.
“Tetapi malangnya rumah panjang ini semakin terbiar tanpa penghuni dan pada masa yang sama rumah panjang ini boleh mengeluarkan hasil lumayan jika dijadikan sebagai pusat pelancongan,” katanya lagi.
Suhaili berkata, rumah ini dibina berhampiran sungai kerana dipengaruhi oleh sosial ekonomi masyarakat Melanau ketika itu yang kebanyakan penghuninya bekerja sebagai nelayan dan petani.
“Kalau dulu, masyarakat Melanau mempunyai banyak rumah panjang, walau bagaimanapun, perubahan semasa menyebabkan kebanyakan penghuninya berpindah dan membina rumah sendiri.
“Hal ini menyebabkan rumah-rumah ini terbiar dan akhirnya lenyap dan hanya rumah panjang inilah satu-satunya yang tinggal,” katanya.
Menurut Suhaili, Muzium Sarawak telah mengisytiharkan Rumah Panjang Melanau Sok sebagai satu warisan yang perlu dikekalkan namun meluahkan rasa bimbang dengan pembinaan khazanah yang berharga ini akan menerima nasib yang sama seperti rumah panjang Melanau yang lain selepas 200 tahun kelak.
“Sayangnya, kisah suka-duka di rumah panjang itu sudah lama berlalu dan kini hanya tinggal kenangan.
“Biarpun semakin sepi, khazanah kaum Melanau yang masih wujud di dunia ini mesti dipertahankan dan arisan bersejarah ini masih berpotensi besar untuk menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
“Buktinya, rumah panjang ini dikunjungi tidak kurang 1,000 pelawat setiap tahun sebelum negara kita dilanda pandemik COVID-19,” katanya.
-ZS-