
Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin (Seremban)
MAMBAU, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Apabila tibanya 10 Muharam, kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia menyediakan juadah khusus yang memang terkenal iaitu bubur Asyura untuk diagihkan kepada orang ramai disamping melakukan ibadah sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW iaitu berpuasa.
Menurut Imam Masjid Kariah Mambau Tupon Bajuri, biarpun tidak dapat melakukan aktiviti memasak bubur Asyura beramai-ramai seperti dahulu, mereka tetap membuatnya di rumah sendiri dan mengagihkannya kepada jiran tetangga yang berdekatan.
“Berbeza pada tahun ini, juadah ini tidak lagi dapat dilakukan secara bergotong-royong di masjid atau pun surau kerana patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut, di sini semalam.
Sementara itu, Zuliawati Kamarudin melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat membuat bubur Asyura untuk ayahnya kerana tidak boleh merentas daerah untuk pulang ke kampung.
“Abah suka makan bubur ini dan setiap tahun kami akan berpuasa dan berbuka puasa bersama dengan bubur Asyura sejak emak meninggal dunia tiga tahun lepas.
“Bubur Asyura terdiri daripada 10 bahan-bahan yang boleh terdiri daripada bijirin, sayuran ubi juga daging, ayam atau udang tetapi tiada resepi yang khusus untuk bubur ini kerana bubur Asyura ini divariasikan dengan pelbagai cara dan bahan mengikut kesesuaian dan selera masing-masing,” katanya.
-FF