Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

TERAJU Jalin Kerjasama dengan SME Bank, Bank Muamalat Sedia Peruntukan RM200 Juta bagi Program BSC

By 27 Ogos 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menjalin kerjasama dengan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd yang akan menyediakan peruntukan berjumlah RM200 juta bagi Program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera (BSC).

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman berkata objektif utama kolaborasi itu adalah untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang ekonomi yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi di sepanjang rantaian bekalan merangkumi sektor borong dan runcit, penjagaan kesihatan dan logistik.

“Bank Muamalat dan SME Bank masing-masing akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta di bawah program BSC ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu yang dijalankan secara maya, semalam
Md Silmi berkata dengan pembiayaan sekitar RM5 juta bergantung kepada bidang yang akan diceburi ia dijangka dapat memanfaatkan 40 syarikat Bumiputera dengan kesan peningkatan jualan atau keuntungan sebanyak 10 peratus sepanjang pelaksanaan program tersebut.

Kerjasama itu juga dilihat sebagai salah satu inisiatif tambahan bagi pemulihan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Bumiputera yang terjejas akibat pandemik Covid-19, katanya.

Beliau menjelaskan kerjasama TERAJU bersama SME Bank melalui Program Pembiayaan Dana Rantaian Bekalan Bumiputera dalam sektor borong dan runcit adalah kesinambungan kepada program dana TERAS sejak 2012, yang bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada PKS sektor tersebut.

“Ini termasuk dalam keseluruhan rantaian bekalan bagi sektor borong dan runcit yang merangkumi pengilang, pengeluar, pemborong, pengedar, peruncit dan seterusnya pembekal perkhidmatan termasuklah logistik,” katanya.

Manakala kolaborasi TERAJU bersama Bank Mualamat pula merupakan program BSC dalam sektor penjagaan kesihatan merangkumi produk dan perkhidmatan.

“Fokus utama adalah mencari penyelesaian untuk menangani isu-isu utama dan cabaran yang dihadapi oleh PKS Bumiputera di sepanjang rantaian bekalan ini terutamanya bagi perolehan bekalan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Md Silmi berkata penyertaan usahawan Bumiputera dalam kedua-dua sektor itu masih rendah dengan memberi contoh industri logistik sedia ada menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan 40,000 syarikat, namun hanya 5,000 syarikat atau 12.5 peratus adalah milik Bumiputera.

“Adalah satu kerugian jika bidang yang berdaya saing ini tidak dapat disertai usahawan Bumiputera atas sebab kekangan aliran tunai dan sebagainya,” katanya.

Justeru, katanya, fokus dan aspirasi TERAJU selaku penyelaras utama agenda pemerkasaan Bumiputera adalah untuk meningkatkan penglibatan PKS melalui program pembiayaan seperti ini bagi mencapai sasaran RM15.9 bilion Lebihan Operasi Kasar Bumiputera dalam bidang logistik menjelang 2030.

Sementara itu beliau berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24.9 peratus dalam eksport peralatan perubatan bernilai RM30 bilion pada 2020 berbanding RM20 bilion pada 2019 berikutan penularan pandemik COVID-19.

Antara produk utama eksport peralatan perubatan ini ialah sarung tangan getah, picagari, radas dan peralatan pemantauan elektronik, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda