Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanEkonomiHomeMelakaViral

Usahawan Tunggal Melayu Kasut Manik Baba Nyonya

By 25 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Beliau bangga kerana beliau satu-satunya usahawan wanita Melayu mengusahakan kasut manik yang dimodenkan daripada produk warisan kebanggaan masyarakat peranakan, Baba dan Nyonya.

Beliau ialah Maszni Abdul Aziz, 47 yang berasal dari Kampung Berangan 6, Umbai Melaka dan telah mengusahakan perniagaan ini selama 13 tahun.

Maszni yang sebelum ini merupakan seorang pekerja kilang menjadikan minat terhadap sulaman kasut manik sebagai punca rezeki buatnya sekeluarga.

 

9fe0f88a-ab89-4cb8-9558-27abf3bd26fe

Maszni satu-satunya usahawan Melayu kasut manik…

 

Mempelajari seni sulaman kasut manik daripada jirannya yang berketurunan Baba dan Nyonya sejak 12 tahun lalu, Maszni sekarang seorang pengusaha kasut manik Melayu yang berjaya di negeri ini.

“Dulu saya berjiran masyarakat Kaum Baba dan Nyonya, dan saya sering melihat mereka membuat sulaman dan cuba mempelajarinya sendiri, mula-mula hasilnya tidaklah kemas, memang mengambil masa juga,” ujar Maszni.

a4a02143-f47e-4957-96d7-9839a902b507

Maszni tidak menggalakkan anak-anak mengikuti jejaknya kerana perlu masa yang lama menyiapkan sepasang kasut manik.

Namun kerana minat dan tidak pernah berputus asa, kini beliau mampu mempunyai jenama perniagaan sendiri iaitu Sparkle Beads.

Beliau serinngmengikuti pelbagai acara yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan memudahkan dan seterusnya memasarkan hasil sulamannya ke luar negara. Setakat hari ni pelbagai negara telah dilawatinya untuk mempromosi kasut manik, iaitu di Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Brunei, Jepun dan Jerman.

“Pada permulaan saya hanya menjual hasil sulaman manik, namun lama-kelamaan selepas kemahiran saya dikesan Kraftangan Malaysia, saya mula berjinak-jinak menghasilkan kasut manik dan kini alhamdulillah semakin mendapat sambutan,” katanya.

Katanya, membuat kasut manik sekarang tidaklah sesukar zaman dahulu, kini pelanggan hanya perlu memilih corak dan warna yang diinginkan sebelum ditampal pada kain dan dijahitkan manik.

“Corak kasut saya juga lebih moden dengan warna-warna yang ceria, dan pelanggan juga boleh memilih jika ingin corak tersebut dalam bentuk 3D ataupun jika inginkan tambahan kristal dan mutiara,” jelasnya.

Tambahnya, selepas corak yang dipilih siap dijahit, pelanggan perlu menunggu selama seminggu sebelum kasut siap sepenuhnya dengan corak pilihan hati. Harga yang dikenakan juga bergantung dengan corak dan jenis kasut sekitar RM150.00 hingga RM700.00.

“Harga kasut manik ini berbaloi dengan kualiti kerana ia mempunyai jangka hayat mencapai 20 tahun dan mudah dibersihkan. Jika kotor, hanya perlu diberus sedikit menggunakan berus gigi,” katanya.

Kata Maszni, biasanya manik pada kasut masih utuh walaupun kasut telah rosak dan dia juga menerima servis memperbaiki tumit atau pembalut yang rosak tapi masih mengekalkan corak yang asal.

Beliau yang mempunyai tiga orang anak perempuan berkata tidak menggalakkan mereka untuk menceburi bidang ini walaupun mereka turut membantunya menyiapkan tempahan dibengkel.

“Jangkamasa yang lama untuk menyiapkan sepasang kasut dan tempoh yang lama untuk pulang modal membuatkan saya tidak menggalakkan anak-anak mewarisi perniagaan ini, saya lebih suka mereka lakukan pekerjaan yang lain,”jelasnya.

Selain menggunakan laman sosial Facebook, Maszni juga merupakan salah seorang vendor yang meletakkan produknya di Innocraft Melaka, iaitu sebuah pusat sehenti bagi memasarkan produk kraf buatan tempatan.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda