Skip to main content
Berita SarawakHome

SUKMA XVIII-Kesihatan Atlet dan Orang Ramai Jadi Keutamaan

By 25 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Ianabella Raeng / Jurufoto: Jaed Tepus

KUCHING, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Sepanjang berlangsungnya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII, kesihatan seramai 5794 atlet, petugas dan orang awam turut dijaga.

Berbekalkan pengalaman selama 32 tahun dalam bidang perubatan, Hj. Ismail Hj. Damit yang bertugas sebagai Pegawai Pemulihan Perubatan (Anggota) di Hospital Umum Sarawak telah banyak terlibat dalam temasya sukan seperti SUKOM 1998, SUKMA Sabah pada 2002 dan Sukan Sea di Brunei.

Antara kaedah rawatan perubatan yang digunakannya ialah rawatan fisioterapi seperti memberi senaman terapiutik dan juga pain management.

Ismail kini mengetuai seramai 180 orang pengamal fisioterapi di Sarawak. Di 23 lokasi sukan, seorang pakar fisioterapi telah ditempatkan manakala dua lagi pakar telah ditempatkan di SMK Paku, Bau untuk acara Hoki (Lelaki). Bagi sukan yang berlangsung di Sibu pula empat orang pakar telah ditempatkan sementara sebanyak lapan orang pakar fisioterapi ditempatkan di Miri. Kesemua pakar fisioterapi yang bertugas di lokasi sukan SUKMA adalah di bawah seliaan beliau.

Selain itu, Ismail akan turut terlibat dalam Sukan Paralimpiad Malaysia ke-XVIII Sarawak yang bakal berlangsung pada Ogos ini.image

Sementara itu, Dr. Shareezan Hoklai Sarudu, 31 pula merupakan seorang pegawai perubatan yang kini berkhidmat di Klinik Batu Kawa.

Beliau ketika ditemu ramah pagi tadi di Stadium Akuatik meluahkan rasa berbesar hati kerana ini merupakan pertama kali dia terlibat dalam acara yang besar.

Dr. Shareezan yang merupakan lepasan siswazah daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pernah bertugas di Hospital Umum Sarawak selama dua tahun manakala di Klinik Kabong selama dua tahun setengah.

Menurutnya, individu yang didapati merokok di kawasan zon bebas asap rokok akan dikenakan denda sebanyak RM500.

Tambah beliau, selain daripada atlet, orang awam yang mengalami kecederaan boleh mendapatkan rawatan di klinik tersebut.

Dr. Shareezan sangat kagum dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh kesemua kontinjen selaras dengan temanya iaitu “Perpaduan dalam Kepelbagaian”

Secara purata, terdapat 15 kes yang diterima dalam sehari dan sekiranya melibatkan kecederaan yang serius pesakit akan terus dihantar ke hospital.

Pasukan khas yang terdiri daripada pegawai kesihatan turut meronda bagi memantau khalayak yang melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan.

Oleh itu, perokok dan juga pengguna vape dinasihati agar prihatin terhadap kesihatan masyarakat.

Klinik Kesihatan yang bertempat di Aras Dua, Pusat Akuatik dibuka dari 7.00 pagi sehingga 11.00 malam sepanjang berlangsungnya SUKMA.

SF

Tinggalkan komen anda