Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

EzCab Aplikasi ‘E-Hailing’ Pertama Dengan Butang Sos

By 17 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh : Sharifah Hazwani Syed Mahusin & Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Malaysiaktif) – EzCab hari ini melancarkan aplikasi terbaharu ‘e-hailing’ pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan butang SOS untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pemandu serta penumpang.

Menurut Pengarah Eksekutif EzCab, Nor Aleeshah Abdullah, melalui aplikasi EzCab keselamatan penumpang adalah keutamaan mereka.

“Apabila penumpang menjejakkan kaki ke dalam teksi yang menggunakan aplikasi ini secara automatik butang SOS akan diaktifkan.

“Sekiranya berlaku apa jua kecemasan, mereka boleh membuat pilihan untuk menekan salah satu daripada tiga butang yang terdapat di dalam aplikasi tersebut iaitu, butang 999 bagi menghubungi polis, butang panggilan kecemasan yang dimasukkan semasa pendaftaran penggunaan aplikasi EzCab dan Pusat Panggilan Semula EzCab,” jelas Nor Aleeshah pada Majlis Pelancaran EzCab, di sini hari ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersama CEO EzCab, Raymond Yap dan Pengarah Eksekutif EzCab, Nor Aleeshah Abdullah bergambar bersama 31 wakil pemandu teksi yang telah berdaftar.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersama CEO EzCab, Raymond Yap dan Pengarah Eksekutif EzCab, Nor Aleeshah Abdullah bergambar bersama 31 wakil pemandu teksi yang telah berdaftar.

Tambahnya, EzCab yang meliputi kawasan Lembah Klang, Seremban, Johor Baharu dan Sabah semenjak mula beroperasi pada 2014 akan diperluaskan lagi hingga ke Pulau Pinang dan Melaka.

“Aplikasi ini telah mendapat sambutan daripada pemandu teksi tradisional hingga mencecah hampir 2,500 orang pemandu yang telah mendaftar,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata aplikasi EzCab ini akan membantu pengusaha dan pemandu teksi tradisional untuk mengambil bahagian dalam teknologi baharu yang akan membantu mereka untuk meneruskan kerjaya sebagai pemandu teksi, seterusnya mampu bersaing seiring dengan pemandu Uber dan GrabCar.

“Aplikasi e-hailing ini semakin popular berikutan ramai pengguna menggunakan telefon pintar.

“Bagi pemandu teksi tradisional yang menggunakan aplikasi EzCab, mereka akan mendapat keutamaan seperti kebenaran untuk menunggu penumpang di lebih 30 stesen MRT yang baharu beroperasi malah mereka juga akan diberikan kursus insentif secara percuma oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” jelas Nazri.

Sesi sidang media, dari kiri: Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limousin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA); Mohd Syahrir Haji Abdul Aziz, Presiden Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia; Datuk Haji SM Shalahuddin Ayubi Kamal Azad, Ketua Operasi Kumpulan SPAD; Haji Zamri Mahmud, CEO EzCab; Raymond Yap Biow Seng dan Menteri Perlancongan dan Kebudayaan; Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sesi sidang media, dari kiri: Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limousin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA), Mohd Syahrir Abdul Aziz; Presiden Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia, Datuk SM Shalahuddin Ayubi Kamal Azad; Ketua Operasi Kumpulan SPAD, Haji Zamri Mahmud; CEO EzCab, Raymond Yap Biow Seng dan Menteri Perlancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri yang menjangkakan kemasukan lebih ramai pelancong menjelang Sukan SEA ke 29 di Kuala Lumpur pada September ini, berharap dapat membantu menambah sumber pendapatan pemandu teksi tradisional dan secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai duta pelancongan negara.

Menurut Asbarihan Ibrahim, 44, yang mempunyai pengalaman sebagai pemandu selama 20 tahun, dia telah mendaftar bersama EzCab di bawah syarikat Public Cab selama tiga tahun.

“Saya menyokong penuh penggunaan aplikasi yang baharu setanding dengan aplikasi Uber dan GrabCar yang dibangunkan sendiri di Malaysia.

“Saya berharap aplikasi ini dapat membantu lebih ramai pemandu teksi tradisional seperti saya,” ujar Asbarihan.

Pemandu teksi, Govindasamy Palaniandy, 45.

Pemandu teksi, Govindasamy Palaniandy, 45.

Bagi pemandu teksi tradisional selama 10 tahun, Govindasamy Palaniandy, 45, dia menyambut baik pelaksanaan aplikasi baharu EzCab kepada pemandu teksi tradisional.

“Aplikasi ini banyak membantu saya mendapatkan pelanggan tanpa perlu menunggu atau mencari,” katanya dengan nada gembira.

– AH

Tinggalkan komen anda