
KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Datuk Seri Najib Razak perlu meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kerana beliau dilantik melalui sistem yang adil.
“Beliau tidak harus tunduk kepada tekanan dan dibenarkan untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi.
“Saya bersetuju dengan ketegasan beliau untuk tidak berundur dan saya berpendapat beliau perlu diberikan peluang untuk menghabiskan penggalnya,” kata Abdul Hadi pada Selasa.
Menurut Abdul Hadi, adalah sia-sia desakan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan disebabkan kontroversi yang didakwa membabitkan beliau, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Usaha untuk mendesak beliau berundur memalukan kerana kita mengamalkan sistem demokrasi,’ beliau berkata.
Tambah Abdul Hadi lagi, usaha menekan Najib supaya meletak jawatan merupakan senario yang pernah berlaku berkali-kali dan dilalui semua Perdana Menteri sebelum ini.
“Ini bukan perkara baharu…dahulu, sebelum 1MDB kita juga menyaksikan masalah membabitkan Perwaja (Steel Sdn Bhd) dan Port Klang Free Zone (PKFZ), antara lain,” kata beliau.