Skip to main content
Home

Sultan Nazrin, Tuanku Zara Ziarah Lima Makam Sultan Terdahulu

By 11 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA KANGSAR, 11 Mei — Sultan Nazrin Muizzuddin Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Isnin berangkat menziarah lima makam sultan terdahulu pada hari kesembilan Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke 35.

Pasangan diraja yang lengkap berpakaian baju Melayu dan kurung coklat cair tiba di Pulau Semat, Manong, di seberang Sungai Perak yang menempatkan makam Almarhum Sultan Tajul Ariffin, iaitu Sultan Perak ke-4, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar, Burhanuddin Md Dali.

Pasangan diraja itu kemudian menyiram air mawar dan menabur bunga ke atas makam berkenaan.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta beberapa pemimpin kerajaan negeri.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Tajul Ariffin diangkat menjadi Sultan Perak selepas kemangkatan kekanda baginda iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Shah pada 1584.

Sultan Tajul Ariffin bersemayam di Pulau Semat dan memerintah Perak selama 10 tahun dan selepas mangkat pada 1594, makam baginda digelar ‘Marhum Mangkat di Tebing’, yang dianggap keramat.

Makam bersebelahan merupakan milik isteri baginda yang bernama Puteri Ajaib.

Selesai menziarah makam itu, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berkenan meluangkan masa kira-kira 20 minit menghadiri Jamuan Bersama Rakyat di Balai Raya Kampung Semat sebelum ke makam Almarhum Raja Sulong Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah di Kampung Tepus Belanja.

Selepas itu, baginda berdua berangkat ke Majlis Santapan tengah hari di Rumah Rehat Cempaka Sari, Pekan Parit.

Pada sebelah petang, pasangan diraja itu berangkat menziarahi makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah III (Sultan ke-13) di Kampung Selat, Bota; Sultan Alauddin Shah (ke-5) dan Sultan Ahmaddin Shah (ke-18) di Kampung Bota Kanan.

Baginda berdua menyiram air mawar dan menaburkan bunga ke atas makam-makam itu.

Majlis tahlil dan bacaan doa selamat juga diadakan di kesemua makam yang diziarahi baginda.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda