
BUKIT MERTAJAM, 2 Mei — Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP sebenarnya tidak perlu membayar kesemua bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) berjumlah RM46.25 juta tahun ini seperti didakwa oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow berkata ini adalah ada daripada perbelanjaan kerajaan negeri yang dikecualikan daripada CBP seperti bayaran emolumen dan pencen serta peruntukan untuk Yang Dipertua Negeri.
Teng juga berkata ada caj CBP dikenakan ke atas perbelanjaan pembangunan namun kerajaan negeri boleh menuntut balik daripada Kastam Diraja Malaysia apabila projek itu siap kelak.
Sebuah portal berita melaporkan Rabu lepas, Lim berkata jumlah CBP yang perlu dibayar kerajaan negeri tahun ini berjumlah RM46.25 juta iaitu bagi projek pembangunan, infrastruktur dan lain-lain perbelanjaan negeri.
Laporan itu juga menyebut berdasarkan perangkaan diberikan Lim, kerajaan negeri perlu membayar CBP ke atas perbelanjaan mengurus dan pembangunan kerajaan negeri berjumlah RM16.29 juta tahun ini.
— BERNAMA