
KUALA LUMPUR, 2 Mei — Seramai lapan pendaki Gunung Everest daripada Pertubuhan Kembara Amal (PeKA) yang terkandas di Nepal akibat gempa bumi di negara itu pada 25 April lepas dijangka tiba di tanah air esok.
Mereka dijangka tiba dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pada pukul 6.50 pagi Ahad, demikian menurut kenyataan PeKA yang disiarkan melalui laman Facebook persatuan itu.
Kumpulan pendaki berkenaan yang memulakan perjalanan pada 20 April lepas terdiri daripada empat pendaki lelaki dan empat wanita yang hanya dikenali sebagai Jasmi Jantan, Zamri, Shahidan, Zakaria, Satyiana, Zuraini, Aminah dan Mazlina.
Jasmi yang juga Setiausaha PeKA, dalam status Facebooknya sebelum ini memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat dan berharap keluarga serta rakan-rakan di Malaysia tidak merasa panik atau bimbang tentang keadaan mereka.
Menurutnya semasa gempa berlaku, mereka dalam perjalanan ke Everest Base Camp, namun pendakian itu terpaksa dibatalkan ekoran gempa bumi itu.
Setakat ini jumlah kematian akibat gempa bumi bersaiz 7.9 pada skala Richter dilaporkan mencecah lebih 6,600 orang dan 14,000 kecederaan.
— BERNAMA