Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

RMK-11 Kesinambungan Agenda Transformasi Nasional

By 20 Mei 2015Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) yang akan dibentangkan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak di Parlimen pada 21 Mei ini akan menjadi penentu kepada langkah transformasi nasional ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

RMK-11 dijangka akan mengutamakan projek-projek berimpak tinggi dengan kos yang rendah serta memastikan pelaksanaan yang cekap dan pantas. Tiga ciri tersebut (berimpak tinggi, kos yang rendah dan pantas) seperti yang pernah disebut Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2015 akan menjadi elemen penting ke arah mencapai objektif tersebut.

RMK-10 berjaya biarpun negara berhadapan cabaran
RMK-11 juga akan menjadi penerus kepada RMK-10 (2011-2015). RMK-10 memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun tersebut. Lima teras strategik digariskan di bawah  RMK-10, iaitu:

Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA;
Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi;

Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif;
Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia; dan,
Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti.

Kesemua teras terbabit telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sekurang-kurangnya pada kadar pertumbuhan sederhana antara 5-6 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-10. Biar pun negara berhadapan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, namun kerajaan masih berupaya dan berjaya menjayakan pertumbuhan yang diterajui oleh produktiviti dan inovasi.

Sektor swasta menjadi penggerak penting pertumbuhan negara dan  kerajaan berperanan umpama syarikat yang berdaya saing dengan prinsip perkongsian pintar yang efektif berjaya membawa pertumbuhan yang sihat serta pembangunan inklusif dengan memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.

Ini terbukti apabila Bajet 2015 yang bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat telah membahagikan pengurusan ekonomi negara kita kepada dua bahagian yakni ‘Capital Economy’ dan ‘People Economy’. Ia satu pendekatan yang memenuhi premis keenam RMK-10, iaitu memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.

Strategi dan harapan RMK-11

Kita yakin bahawa RMK-11 akan berupaya meningkatkan lagi prestasi ekonomi negara dan sekali gus meningkatkan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kerajaan juga perlu mengurangkan defisit fiskal negara. Pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sekali ganda kepada RM38,850 setahun. Ia adalah satu cabaran kerana untuk beberapa tahun mendatang ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar empat peratus.

Apa pun, dari segi agenda nasional, RMK-11 amat penting bagi mencapai Wawasan 2020 dan status negara maju berpendapatan tinggi. Justeru,  RMK-11 sangat penting kepada negara yang semestinya merupakan satu perancangan rapi kerajaan untuk menjayakan program transformasi negara.

Menerusi RMK-11 kerajaan dijangka akan menyediakan pentas pembangunan yang lebih luas bagi memacu produktiviti melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara lebih kreatif dan inovatif. Selain itu, usaha untuk mewujudkan persekitaran yang boleh merangsang dan menjayakan pertumbuhan ekonomi dan NKEA akan diberi keutamaan.

Pastinya kepentingan rakyat akan diberi perhatian di bawah RMK-11 melalui pembangunan inklusif dengan memberi peluang sama rata serta melindungi golongan yang mudah terjejas. Ia selaras dengan konsep ekonomi berteraskan rakyat yang meletakkan rakyat di tengah-tengah proses pembangunan.

Dalam konteks ini, transformasi jentera kerajaan bagi menyokong agenda transformasi dan peralihan ekonomi akan terus diperkukuh di bawah RMK-11. Langkah transformational ini akan mempertahankan agenda keadilan sosial dengan berpegang kepada empat tiang utama iaitu; i) Falsafah Induk ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’; ii)  Program Transformasi Kerajaan (GTP); iii) Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersandarkan Model Baru Ekonomi (NEM) dan iv)  Rancangan Malaysia Kesebelas.

Kesimpulan, RMKe-11 merupakan fasa akhir perancangan lima tahun negara ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Ia akan meneruskan agenda pembangunan sosioekonomi nasional berdasarkan prinsip Model Ekonomi Baru (MEB)  dengan tumpuan pembangunan inklusif dan mampan.  Kita yakin RMK-11 adalah rancangan yang lebih menyeluruh, bersepadu dan realistik untuk mencapai sasaran dan objektif yang ditetapkan.

Tinggalkan komen anda