
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Seorang anggota RELA yang terlalu ghairah menjalankan tugas mengawal premis Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) bertanggungjawab mengarahkan seorang pengunjung, Suzana G.L Tan supaya memakai kain sarung untuk menutup kakinya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Ab Aziz Kaprawi berkata anggota berkenaan sudah pun ditukarkan ke bahagian lain.
“Dia bertindak bersendirian dan bukan diarahkan oleh JPJ,” beliau memberitahu wartawan di Persidangan Pembangunan Lapangan Terbang Global Asia 2015 hari ini.
Ab Aziz berkata semua pejabat JPJ mempunyai peraturan yang sama berhubung pakaian sesuai, seperti mana yang dilaksanakan di jabatan-jabatan kerajaan lain.
Bagaimana pun, menurut beliau tidak patut tindakan begitu drastik diambil ke atas mereka yang tidak patuh.
Dalam post laman Facebooknya yang menjadi ‘viral’, Tan berkata dia diberikan sehelai kain sarung untuk dipakai apabila mengunjungi sebuah pejabat JPJ pada Isnin dan diberitahu dia tidak akan dilayan jika enggan.
Ketika itu Tan memakai blaus dan skirt yang hanya mencecah lutut.
JPJ pada Selasa memohon maaf kepada Tan dan mengaku pegawai mereka bertindak melampau memaksa seorang wanita yang tidak berpakaian keterlaluan memakai kain sarung sebelum memberikan perkhidmatan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menegaskan kedudukan sebenar bahawa tidak wujud ‘dasar sarung’.
Beliau berkata tidak seharusnya diadakan tata cara tidak perlu berhubung kod pakaian untuk orang awam.