
Oleh Dila Khamde
KUALA LUMPUR, 6 JUN 2015 – ‘SehatiSejiwa’ tema Sambutan Hari Kebangsaan 2015. Tema ini dipilih bagi mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat kepada negara.
Ini diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semasa majlis ‘SehatiSejiwa’ sempena Pra Pelancaran Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka pada Sabtu.
Beliau berkata “Malaysia mesti membina perasan dan roh ‘SehatiSejiwa’ di mana sahaja mereka berada. Ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini kita terapkan roh ‘SehatiSejiwa’ di seluruh pelosok negara kita yang tercinta”
Menurut beliau lagi, tahun ini tahun istimewa di mana bilangan ulang tahun kemerdekaan ke berapa tidak lagi akan digunakan, malah “Sambutan Hari Kebangsaan 2015” digunakan bagi merapatkan hubungan dan mengakrabkan perasaan tanpa mengira di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Majlis anjuran KKMM ini memperkenalkan rakan-rakan strategik , termasuk kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, Media Prima Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ASTRO, PROTON, Telekom Malaysia Bhd, Pos Malaysia Berhad, Les Copaque Production Sdn Bhd, Persatuan TatihSeni Malaysia dan AEON.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad, Datuk Haji Othman Mustapha, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha daripada kementerian lain.
Pelbagai aktiviti diadakan seawal pukul 8 pagi, termasuk Kuiz Patriotik, Zumba, Buskers, Zapin Mania, Penampilan Maskot Upin Ipin, Boboiboy, Ummi, Bola Kampung dan Mini konsert dengan Persembahan Artis Datuk Hattan, Adira,Kumpulan Leon.
Sementara itu, juga diadakan pelepasan konvoi Eksplorasi ‘SehatiSejiwa’ terdiri daripada dua unit kenderaan Jabatan Penerangan, 10 unit Proton Club, 20 Big Bikers dan 1 ‘bonded truck’ yang akan menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.