Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViral

124 Orang Telah Ditawarkan Rumah IKRAM Keluarga Malaysia

By 6 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: KPKT

PUTRAJAYA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 124 orang telah ditawarkan Rumah IKRAM Keluarga Malaysia daripada 2,000 unit sedia ada yang disediakan, setakat ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata baki 1,876 unit kediaman masih dalam proses penilaian dan akan ditawarkan kepada mereka yang layak sebaik proses saringan selesai dilaksanakan.

“Kerajaan amat prihatin dengan permasalahan yang dihadapi rakyat khususnya golongan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sehingga terdapat golongan yang dibuang kerja, pendapatan terjejas dan juga yang diusir daripada kediaman akibat daripada kegagalan membayar sewa.

“Justeru, Perdana Menteri pada 24 September lepas telah melancarkan Rumah IKRAM Keluarga Malaysia dengan objektif utama program ini adalah untuk memberikan perlindungan melalui penyediaan kediaman yang berdaya huni, selesa dan selamat kepada rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat kesan sampingan COVID-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail menjawab soalan tambahan Senator Zaiedi Suhaili yang ingin tahu adakah kerajaan membantu untuk berunding dengan pihak bank khususnya bagi peminjam yang berhadapan dengan masalah kewangan akibat pandemik ini.

Tambahnya, Rumah IKRAM Keluarga Malaysia memberikan kemudahan insentif sewaan serendah RM124 untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat.

“Penerima manfaat ini seterusnya akan menerima pengecualian bayaran sewaan untuk enam bulan yang pertama,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata tiada kuota ditetapkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mula dilaksanakan pada 1982 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (RMK3) melainkan khusus untuk golongan B40 yang berkelayakan.

“Kerajaan melalui KPKT telah menyediakan dua jenis program PPR iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewa. PPR Dimiliki adalah unit PPR yang dijual kepada pemohon yang berkelayakan manakala PPR Disewa ditawarkan kepada rakyat yang masih belum berkemampuan untuk memiliki kediaman.

“Sejak diperkenalkan pada 1982 hingga sekarang, 154 projek PPR Disewa dan PPR Dimiliki siap dibina dan telah menyediakan 97,196 unit rumah,” katanya.

Pada masa yang sama, Ismail berkata kerajaan juga komited untuk meneruskan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang terbukti memberi manfaat perumahan khususnya kepada golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang diberi kebenaran.

Setakat ini, sebanyak 47,714 unit RMR telah siap dibina, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda