Skip to main content
EkonomiHome

Harga Barang Dipantau Menjelang Sambutan Aidilfitri

By 6 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Malaysiaaktif) — Aidilfitri menjelang tiba dan rentak persiapan untuk sambutan mula terasa.  Pusat-pusat membeli-belah mula dibanjiri orang ramai. Seperti tahun-tahun lalu isu kenaikan harga barangan keperluan mendapat perhatian masyarakat. Sikap peniaga tidak beretika  menaikkan harga barangan tertentu akan membebankan pengguna.

Kerajaan prihatin terhadap perkara ini. Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) baru-baru ini mengumunkan harga maksimum borong dan runcit bagi 21 barangan yang dikawal harganya sempena sambutan Aidilfitri.

Antara barangan yang dikuatkuasakan, termasuk ayam, telur ayam, daging lembu, daging kerbau, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol, cili merah, tomato, bawang, kobis, kelapa, dan ubi kentang. Pengguna boleh melayari portal rasmi KPDNKK untuk menyemak senarai harga barang terkawal seperti yang diumumkan itu.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, harga barangan terbabit adalah mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) yang ditetapkan selama 17 hari, mulai dari 7 Julai sehingga 21 Julai.

Antara peraturan yang mesti dipatuhi, tidak menjual barangan terkawal itu pada harga melebihi paras maksimum. Peniaga juga perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan harga barang lain.

Tindakan tegas menanti peniaga yang degil dan tidak bertanggungjawab. Sekiranya mereka gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, maka mereka boleh didenda mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Bagi individu (peniaga) yang melakukan kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM100,000 dan penjara. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh didenda sehingga  RM500,000 atau kompaun RM50,000.

Peniaga yang didapati menaikkan harga barang akan diberikan notis di bawah seksyen 21 akta terbabit. Peniaga yang menerima notis itu dikehendaki memberikan justifikasi mengapa mereka menaikkan harga barang.

Rakyat selaku pengguna wajar memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa KPDNKK dengan melaporkan kepada agensi terbabit mengenai sebarang kenaikan harga barang atau apa-apa salah laku peniaga di talian aduan 1-800-886-800.

 

Tinggalkan komen anda