Skip to main content
EkonomiGlobalHomeViral

Bekas Pegawai Westpac Dakwa Dipaksa Pindah Dana Malaysia

By 16 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PETALING JAYA, 16 Ogos — Seorang bekas pegawai kanan bank Westpac di Australia mendakwa dia dipaksa untuk memindahkan dana kerajaan Malaysia tanpa kebenaran ke pihak ketiga, menurut laporan sebuah akhbar Australia.

The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa Michael Knight yang mengendalikan urusan jual beli Dudley House di Melbourne berdepan dengan seorang lelaki kelihatan seperti orang Asia di luar kediamannya di Brighton pada 5 Mac 2013.

 

knight

 

“Saya tahu anda ada tiga anak, anda akan buat apa yang saya katakan,” kata lelaki tidak bernama itu kepada Knight dan membayangkan lelaki berkenaan mempunyai pistol.

Kerana bimbang terhadap keselamatan keluarganya, Knight mendakwa, dia terpaksa berulang kali memindahkan dana yang dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia, dalam akaun peribadinya selepas menyerahkannya kepada lelaki berkenaan.

Akhbar harian itu turut melaporkan bahawa Knight yang menguruskan kewangan untuk pembangunan hartanah di bank itu, dibantu oleh “sebuah agensi kerajaan Malaysia” bagi mendapatkan pembiayaan untuk perjanjian Dudley House.

Selepas mendapati mereka mahu membeli hartanah pada harga yang lebih tinggi iaitu A$22.5 juta (RM63 juta), Knight yang berurusan dengan peminjam berpotensi, mendakwa mereka “jelas membayar terlalu banyak”.

Knight percaya penjual itu mendapat keuntungan yang banyak dan berkongsi dengan pegawai warga Malaysia yang terlibat dalam perjanjian itu, selepas nasihatnya tidak dipedulikan.

Akhbar harian itu melaporkan bahawa beberapa jam selepas Knight bersetuju untuk mendapatkan pembiayaan bagi perjanjian itu, dia mendakwa telah didekati oleh seorang lelaki misteri dan kemudiannya dipaksa untuk melakukan transaksi itu yang didakwanya menyalahi undang-undang.

Akhbar harian tersebut turut memetik peguam Knight bahawa anak guamnya mahu memaklumkan kepadannya polis tetapi bimbang dengan keselamatan keluarganya.

Selepas tindakannya itu terbongkar pada September 2013, Knight dibuang kerja oleh syarikatnya kerana melakukan penipuan bagi mendapatkan hartanah berkenaan dan perkara tersebut dilaporkan kepada polis.

Knight mengaku bersalah kerana memindahkan dana ke akaun peribadinya semasa pendakwaan di mahkamah, dan disabitkan hukuman melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.

Kontroversi terbaharu itu susulan laporan akhbar harian Australia, The Age pada Jun lalu yang melaporkan mengenai pembelian hartanah itu pada harga lebih tinggi, sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu siasatan dilakukan berhubung dakwaan tersebut.

— MStar

Tinggalkan komen anda