Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Perhimpunan Jalanan Boleh Kucar-Kacirkan Negara

By 24 Ogos 2015Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

 “Sekatan ketat wajar dikenakan ke atas perhimpunan BERSIH 4.0 dan jika tidak bersesuaian dengan situasi negara maka ia perlu dibatalkan sahaja”.

Di saat negara bersiap sedia untuk menyambut Hari Kebangsaan 2015 pada tanggal 31 Ogos ada pula pihak tertentu di negara ini cuba menganjurkan perhimpunan yang dinamakan sebagai Perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) 4.0 pada 29 dan 30 Ogos. Mereka berkeras mahu mengadakannya di Dataran Merdeka. Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dalam kenyataan di laman rasmi Facebook BERSIH 2.0 menegaskan perhimpunan tetap akan dijalankan seperti dirancang. Persoalannya, apakah motif mereka beria-ia sangat memilih Dataran Merdeka sedangkan setiap tahun tempat tersebut disiapkan untuk sambutan Hari Kebangsaan (Hari Merdeka)? Kedua-dua tarikh tersebut adalah tarikh pihak penganjur sambutan Hari Kebangsaan sedang membuat persiapan akhir untuk sambutan hari kebesaran negara pada 31 Ogos.

Nampak sangat niat mereka untuk mencetuskan keadaan tidak harmoni kepada sambutan hari kebangsaan pada tahun ini. Mengapa pihak penganjur tidak mahu mendengar nasihat polis untuk memilih lokasi lebih sesuai untuk perhimpunan mereka itu seperti di Stadium Bukit Jalil.  Benarlah kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Baka bahawa penganjur perhimpunan BERSIH 4.0 ‘mementingkan diri sendiri’.

Penganjur Bersih 4.0 masih belum memenuhi ketetapan Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur. Menurut pihak polis notis pemberitahuan daripada pihak penganjur tidak lengkap kerana tidak menyertakan kebenaran pemilik lokasi berhimpun. Sayugia difahami bahawa Dataran Merdeka adalah di bawah pentadbiran Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Secara logiknya bagaimana pihak DBKL akan memberikan mereka kebenaran berhimpun di situ kerana kawasan itu sedang dalam persiapan menyambut hari kebangsaan. Malah, DBKL sendiri terlibat secara langsung dalam persediaan menyambut hari kebangsaan.

Walaupun kerajaan bersikap terbuka dan tidak menghalang sebarang perhimpunan aman diadakan tetapi ia mestilah benar-benar menepati akta terbabit.  Di bawah akta terbabit, polis mempunyai bidang kuasa seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15 bagi mengenakan sekatan dan syarat ke atas perhimpunan demi menjaga keselamatan, perlindungan hak dan kebebasan orang lain serta menjaga ketenteraman awam.

Antara sekatan yang boleh dikenakan adalah berhubung dengan tarikh, masa dan tempoh perhimpunan, tempat perhimpunan, cara perhimpunan, kelakuan peserta semasa perhimpunan dan pembayaran kos pembersihan akibat daripada mengadakan perhimpunan. Selain itu pihak polis perlu mengambil kira faktor alam sekitar, sensitiviti budaya, agama, kepentingan sejarah yang ada pada tempat perhimpunan.

Walaupun kita berpegang kepada amalan demokrasi tetapi itu tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan anggota masyarakat yang lain. Demikianlah dalam hal mengadakan apa-apa perhimpunan atau demonstrasi jalanan. Sungguhpun Akta Perhimpunan Amam 2012 mengizinkan diadakan perhimpunan secara aman tetapi akta itu tetap memperuntukkan sekatan-sekatan tertentu untuk memastikan keselamatan awam dan negara tidak terancam.

Dalam beberapa siri perhimpunan yang pernah diadakan sebelum ini seperti perhimpunan Hindraf  2007, perhimpunan BERSIH 2.0 (9 Julai 2011), dan perhimpunan BERSIH 3.0 (28 April 2012) telah berlaku kekecohan kerana para peserta perhimpunan bertindak agresif serta melakukan banyak pelanggaran syarat dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak polis. Siri-siri demonstrasi yang pernah diadakan itu juga mempunyai motif politik serta mempunyai agenda tersembunyi yang boleh menggugat  keamanan dan ketenteraman awam.

Kebanyakan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan aman terbabit adalah dibayangi oleh parti pembangkang yang agenda untuk melemah dan menjatuhkan kerajaan. Golongan terbabit mempunyai perancangan untuk mencetuskan momentum kebencian rakyat yang berterusan dengan membantah segala tindakan dan dasar kerajaan walaupun dasar dan tindakan kerajaan itu mempunyai kepentingan nasional dan kebaikan rakyat.

Selain itu, dalam kebanyakan perhimpunan yang pernah diadakan itu, kita dapati berlakunya provokasi terhadap pihak tertentu termasuk provokasi ke atas anggota polis yang bertugas sehingga mencetuskan kekecohan. Malah, terdapat juga kes pertelingkahan dan pergaduhan sesama peserta perhimpunan seperti yang pernah berlaku dalam perhimpunan membantah GST pada Mei 2014. Dalam perhimpunan itu telah berlaku pertelingkahan dan pergaduhan antara Unit Amal Pas dan anggota Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Dalam insiden itu, petugas media turut diserang. Insiden itu menunjukkan bahawa keganasan boleh berlaku sesama mereka sendiri yang menganjurkan demonstrasi. Hakikatnya, budaya demonstrasi jalanan boleh melahirkan kelompok yang keras, ekstrem dan menjadikan mereka bersifat biadab dengan aksi-aksi dan hamburan kata-kata fitnah dan keji terhadap golongan lain. Oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan mengawal budaya ini daripada berkembang. Justeru, sekatan ketat wajar dikenakan ke atas perhimpunan BERSIH 4.0 dan jika tidak bersesuaian dengan situasi negara maka ia perlu dibatalkan sahaja.

Dari sudut pandangan Islam, ramai para ulamak menyatakan bahawa demonstrasi bukan cara yang diajarkan Islam. Mengikut mereka tidak ada dalil yang konkrit dapat menyokongnya dari segi syariat, sebaliknya ia lebih mirip kepada manhaj kaum Yahudi yang telah digunakan sebagai senjata sejak peristiwa pembunuhan Syaidina Uthman lagi. Amalan Salafus Soleh dalam menegur kerajaan adalah berpegang kepada kaedah wajib menggunakan pendekatan menasihati supaya dapat mengelakkan perpecahan antara rakyat yang akhirnya membawa bencana kepada negara.

Pendekatan itu sesuai dengan maksud sebuah hadis yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin menasihati pemerintah dengan suatu perkara, maka janganlah ia paparkan di khalayak ramai. Aka tetapi hendaklah ia mengambil tangan penguasa dengan empat mata. Jika ia (penguasa) menerima, maka itu yang diinginkan dan kalau tidak, maka sesungguhnya dia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia (penguasa) dan pahala baginya (orang yang memberi nasihat)” (riwayat Ahmad).

Hakikatnya. Islam melarang tindakan yang boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam masyarakat seperti maksud firman Allah SWT, `”Dan berjaga-jagalah diri kamu daripada melakukan malapetaka (kekacauan, rusuhan, perang dan lain-lain) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus, tetapi akan menimpa kamu secara keseluruhannya. Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksa-Nya” (al-Anfal, ayat 25).

 

Tinggalkan komen anda