
Oleh : Wan Muhamad Zikri Wan Kamis
ARAU, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Remaja masakini yang kurang pengetahuan, rendah nilai peribadi dan tegar melanggar disiplin boleh membawa kepada keruntuhan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, akhlak dan disiplin perlu dijaga sepanjang masa bagi menjamin keutuhan dan kecemerlangan remaja sebagai pelajar dan generasi masakini yang merupakan aset kepada negara dalam memacu kecemerlangan.
“Jati diri perlu dizahirkan dengan cara betul supaya menjadi ikutan yang baik kepada masyarakat, sekaligus membentuk pandangan positif kepada generasi pewaris masa depan,’ katanya lagi.
Beliau berkata sudah tentu dalam keadaan zaman sekarang, terdapat pelbagai isu dan cabaran yang generasi muda perlu hadapi.”
“Sekiranya tiada benteng dalam jiwa, semangat jati diri ini akan dihakis oleh sifat tidak baik”, jelasnya ketika merasmikan Program Forum Jatidiri Peringkat Negeri Perlis di Kolej Matrikulasi Perlis baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Kolej Matrikulasi Perlis, Nuzrin Nuiman dan Pengarah Penerangan Negeri Perlis, Mohamed Lokman Mahmud.
Asmaiza juga melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diberikan oleh pelajar Kolej Matrikulasi dalam menjayakan program tersebut.
Seramai 1000 orang pelajar turut serta dalam program Sehati Sejiwa, Isu dan Cabaran Generasi Masa itu.