Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomeTerengganuViral

Kos Sara Hidup Fokus Rakyat Menjelang Bajet 2016

By 22 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mahadi bin Mustafa & Zulkifli bin Othman (Dungun)

DUNGUN, 22 Okt ( Malaysiaaktif) —  Bajet 2016 yang akan dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, merangkap Menteri Kewangan hari ini diharap membawa berita baik kepada seluruh rakyat Malaysia.  Harapan rakyat adalah sesuatu pengumuman yang akan memberi impak dan manfaat yang baik kepada mereka.

Penjawat Awam, Hassidy Hasan, 36, berharap bajet ini memberi penekanan kepada isu perumahan rakyat yang melibatkan belia, isu kenaikan harga barang, pemahaman tentang GST di mana rakyat masih lagi keliru, penyelarasan gaji kakitangan awam serta kenaikan tol yang membebankan rakyat.

Beliau meminta ditekankan juga soal peluang pekerjaan,  latihan kemahiran dan pembangunan usahawan. Ia perlu diselaraskan dengan sebaik mungkin dalam menghadapi arus pembangunan masa kini. Tidak dilupakan, bonus kepada kakitangan awam masih perlu diteruskan bagi menghargai sumbangan mereka.

Aminah Ali, 55, yang juga penjawat awam berharap bajet kali ini memberi perhatian kepada usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang yang membebankan rakyat.

Katanya, GST sudah pasti memberi tekanan kepada semua lapisan masyarakat dan menjadi harapan beliau agar kerajaan kekalkan pengecualian GST ke atas beberapa barang-barang keperluan.

Seorang pesara, Haji Salleh Ahmad, 80, berharap kerajaan tidak meminggirkan warga emas seperti beliau yang turut menyumbang kepada negara satu ketika dahulu.

Menurutnya, perhatian harus diberi oleh kerajaan kepada warga emas dalam mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan dari segi keistimewaan, seperti mana terdapat di hospital swasta.

Antara lain yang perlu diberi penekanan ialah kenaikan harga minyak yang memberi kesan terus kepada kenaikan harga barang. Ia memberikan kesan besar kepada golongan bawahan apabila perbelanjaan runcit mereka meningkat setiap bulan.

Bagi Pemimpin Belia, Soffian Aziz, 40,  isu Tambah Nilai telefon prabayar yang dikenakan GST perlu segera diselesaikan kerajaan.

Pengumuman oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet adalah langkah terbaik bagi  menghakis kesangsian umum terhadap kredibiliti kerajaan dalam menyelesaikan isu ini.

Harapan rakyat agar Bajet 2016 yang bakal diumumkan nanti yang terbaik, terkesan di hati dan dalam masa sama, dikotakan seperti yang dijanjikan. Tidak perlulah kerajaan memperuntukkan dana yang banyak kepada perkara yang tidak menjadi keutamaan seperti projek berskala besar. Apa yang penting kini adalah memberi tumpuan terhadap golongan sasar yang memerlukan.

 

Tinggalkan komen anda