
Oleh Mohd Fazian Ahmad & Muhd Syafiq Saad (Kedah)
KUALA NERANG, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Penduduk dan peniaga gerai makan di pekan Kuala Nerang, di sini, rimas dengan kehadiran begitu banyak lalat sejak lebih lima tahun lalu.
Seorang penduduk, Abd Razak Jaafar, 50, berkata, masalah lalat ini berpunca daripada ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran.
Menurutnya, makanan dan minuman sama ada di rumah mahu pun di gerai makan banyak dihurung lalat.
“Keadaan ini membahayakan penduduk kerana makanan serta minuman mungkin tercemar,” katanya.
Pengusaha kedai makan, Norlia Abd Talib, 42, berkata, masalah lalat yang begitu banyak, terutama ketika waktu proses pengeluaran ayam telah lama dihadapi penduduk di sini.
Beliau berkata bukan sahaja makanan yang dihurung , malahan kerusi dan meja juga dihurung hingga membuatkan pelanggan merasa jijik.
“Saya bimbang untuk menjual makanan kepada pelanggan kerana lalat mungkin membawa pelbagai jenis penyakit,” katanya.
Malah, Norliza berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membeli kertas pelekat lalat bagi mengurangkan serangga itu. Beliau berharap pihak berwajib mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini.