
Kenyataan Media SYABAS
KUALA LUMPUR, 20 Okt — Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengumumkan bahawa MYFastPay bukan ejen mengutip pembayaran bil air SYABAS yang sah. Oleh yang demikian, pengguna diingatkan supaya tidak membuat pembayaran bil air menerusi ejen ini.
Pembayaran bil air melalui ejen yang tidak sah boleh menyebabkan akaun pengguna tertunggak kerana pembayaran melalui ejen tidak sah tidak dihantar kepada SYABAS mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Bil air tertunggak akan menyulitkan keadaan apabila bekalan air ke premis terpaksa dipotong.
Pembayaran melalui cara ini bukan dan tidak pernah diluluskan oleh Syabas. Sekiranya ada pelanggan tersilap bayar melalui cara ini, sila berhubung dengan kami di talian PUSPEL
1-800-88-5252 atau e-mel: [email protected].
SYABAS menyediakan pelbagai kemudahan untuk pembayaran bil air. Selain daripada pembayaran bil air di kaunter-kaunter pejabat SYABAS, pengguna juga boleh membayar secara talian terus menggunakan JomPAYmelalui bank.
Pengguna juga boleh membayar bil air SYABAS di stesen minyak terpilih, kedai 7-Eleven dan lain-lain kedai serbaneka yang terpilih. Sila layari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat lengkap tempat sah untuk membayar bil air.
AMIN LIN ABDULLAH
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Kumpulan Pengurusan Air Selangor