Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kerajaan Ambil Langkah Sukar Demi Capai Bajet Seimbang 2020

By 21 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan terpaksa mengambil langkah sukar termasuk memansuhkan subsidi bahan api dan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memenuhi objektif negara mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat ia merupakan antara keputusan sukar pihaknya demi meningkatkan daya saing dan kadar percukaian negara.

“Seperti sasaran, kita yakin menjayakan bajet seimbang atau hampir sedekat mungkin, pada 2020,” katanya dalam ucapan pada Forum Transformasi Global di Kuala Lumpur hari ini.

“Bukan semua orang suka dengan langkah ini. Namun tindakan itu perlu untuk kita meneruskan transformasi.”

Beliau yang juga Menteri Kewangan menekankan langkah ini penting bagi memastikan ia selari dengan hasrat negara untuk mencapai objektif wawasan 2020.

“Negara perlu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana untuk meneruskan matlamatnya menjadi negara berstatus pendapatan tinggi pada 2020.

“Kita perlu galakkan pertumbuhan, dan pada masa yang sama mengurangkan ketidakcekapan – tanpa berkompromi ke atas taraf hidup. Kita perlukan transformasi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata pelbagai Program Transformasi Kerajaan telah dibuat, termasuk membantu menangani pembangunan luar bandar, pengangkutan awam bandar dan membantu isi rumah berpendapatan rendah.

“Ini menjadi inti pati transformasi kita memandangkan ia mesti berkekalan dan terangkum. Kita mahu semuanya dikongsi bersama, tanpa mengira usia, lokasi, kepercayaan dan etnik, kerana transformasi adalah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Sebelum ini, Najib memaklumkan program transformasi ekonomi yang telah dirancang perlu diteruskan dan sebarang bentuk kajian semula mengenainya akan memberi isyarat negatif kepada ekonomi negara.

Beberapa langkah penting juga telah diambil kerajaan seperti konsolidasi fiskal, rasionalisasi subsidi, termasuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP).

 

Tinggalkan komen anda