
Oleh : Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyarankan pemain industri pelancongan lebih kreatif dan perhatin terhadap kesihatan pelancong ke negara ini.
Beliau juga mecadangkan supaya mereka dibawa ke destinasi yang kurang berjerebu di sekitar tanah air.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pameran Fotografi #KOLEKTIF1 dan perkhidmatan Bas Hoho (Hop-on, Hop-off) bersempena Hari Pelancongan Sedunia 2015 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur semalam.
Pameran Fotografi # Kolektif ini merupakan kerjasama di antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).
Antara karya terkemuka yang dipamerkan termasuk foto-foto oleh Yaman Ibrahim yang merupakan seorang juru gambar profesional di Malaysia bersama 28 orang lagi jurugambar profesional negara dan Brunei.
Pameran yang diadakan di Galeri Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur ini mengumpulkan sebanyak 78 karya fotografi bertemakan lokasi-lokasi pelancongan di seluruh dunia.
Selain memaparkan keunikan dan kesenian dalam konteks budaya dan gaya hidup, pameran ini juga diharap mampu memberi pengetahuan kepada masyarakat, terutama generasi muda tentang aspek-aspek penting dalam menghasilkan fotografi pelancongan berkualiti.
Pameran ini bermula pada 3 September dan akan berakhir pada 30 Oktober.