
Oleh Wan Muhamad Zikri Wan Kamis (Perlis)
PADANG BESAR, 14 Okt (Malaysiaaktif) — Program bersama masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu diperbanyakkan bagi memastikan keharmonian dan perpaduan kaum terus terjaga.
Melalui program yang diadakan di sini hari ini, masyarakat dapat berkumpul dan menyertai pelbagai acara, seperti sukan rakyat, dekorasi kek, gubahan kreatif, pertandingan mewarna dan sebagainya.
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Sabry Ahmad berkata, maklumat yang tidak benar melalui media sosial seperti Facebook, Twitter atau WhatsApp amat bahaya kerana boleh menggugat perpaduan kaum.
Sehubungan itu, beliau berkata, apabila banyak program dianjurkan, masyarakat juga akan mendapat maklumat terkini tentang dasar-dasar kerajaan dan isu semasa.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Komuniti 1Malaysia Parlimen Padang Besar di Sekolah Kebangsaan Padang Melangit pagi tadi.
Program ini disertai kira-kira 500 orang daripada pelbagai kaum dan diadakan sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1437.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Titi Tinggi, Khaw Hock Kong.