
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2015 (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada pihak penganjur dan individu- individu yang merancang menganjurkan program sex dengan robot bulan hadapan di Johor.
“Saya memberi amaran kepada orang ini, jangan nak mengarut, jangan cuba membuat satu perkara yang abnormal di negara ini. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap orang sebegini.” kata beliau semasa majlis penyampaian Surat Penghargaan Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia (VTREC) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sime Darby Convention Centre, Mount Kiara Selasa lepas.
Malah menurut beliau sikap membawa budaya songsang luar negara ke dalam negara merupakan satu kesalahan dan ia diharamkan di sini.
Menurut sumber daripada laman web news.com.au, program sex dengan robot ini dijadualkan berlansung pada 16 hingga 19 November. Program tersebut akan dipengerusikan oleh seorang pensyarah daripada City University London, Profesor Adrian Cheok dan CEO Inteligent Toys Limited, Dr.David Levy. Program ini dikatakan untuk tujuan membincangkan mengenai emosi robot, pengklonan robot, personaliti robot dan perisian robot secara terperinci.