
Oleh Malini Md Yunos (Port Dickson)
PORT DICKSON, 13 Okt (Malaysiaaktif) — Tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibangunkan di Negeri Sembilan.
Tiga kawasan telah dikenal pasti, ialah Rantau (100 unit), Chembong (500 unit) dan projek PPR Ladang Tanah Merah (100 unit) yang dalam pembinaan.
Ini diumumkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul rahman Dahalan semasa merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan kepada seramai 140 orang di Taman Silau Jaya di sini pada Selasa.
Taman perumahan ini berkeluasan 15 ekar dan mempunyai sebanyak 150 unit rumah teres mampu milik. Kos sebenar pembinaan bagi sebuah rumah ialah RM113,000, tetapi dijual pada harga mampu milik RM35,000.
Kawasan ini juga disediakan pelbgai kemudahan, termasuk surau, tadika, dewan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak.
Turut diadakan semalam, cabutan undi untuk lot-lot rumah yang dikelolakan oleh Jabatan Perumahan Negara dan Bahagian Pembangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS).
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya berkata bermula Ogos tahun ini, pemaju mesti membina sekurang-kurangnya 50 peratus rumah mampu milik daripada keseluruhan projek.
Beliau berkata ini bagi memastikan semua orang dapat merasai nikmat tinggal di kediaman selesa berdasarkan saiz keluarga.
Tambah beliau, pada masa sekarang sudah tidak relevan lagi bagi sesebuah keluarga tinggal di rumah kos rendah yang hanya mempunyai satu bilik, seperti di Flat Lobak dan beberapa kawasan lain di Negeri Sembilan.
Mohamad berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri menyediakan dasar jaringan keselamatan sosial bagi memastikan supaya rakyat memperoleh kehidupan yang baik dan selesa demi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.