Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Seruan Perpaduan Intipati Mesej MB Kepada Rakyat Terengganu

By 14 Oktober 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU,13 Okt (Malaysiaaktif) — Daerah Hulu Terengganu menyambut Ambang Maal Hijrah dengan bacaan doa akhir tahun sebelum solat Maghrib dan disusuli dengan bacaan doa awal tahun dan surah Yasin.

Majlis di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohamad Wan Ibrahim yang turut menyampaikan perutusan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif, antara lain menyentuh tentang gagasan Transformasi Terengganu Baharu yang didokongi lapan prinsip, terutama prinsip ke-7, iaitu Seruan Perpaduan.

Beliau berkata kerajaan negeri terus membuka ruang dan peluang mempraktiskan Seruan Perpaduan sebagai nadi pembangunan Terengganu secara menyeluruh.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat Terengganu supaya akur dengan ketentuan Illahi dan terus berdoa supaya usaha dan hasrat dimakbulkan.

Beliau berkata demikian dalam konteks tema Maal Hijrah 1437, “Perpaduan Nadi Transformasi Negara” yang merujuk kepada pentingnya perpaduan dalam memacu pembangunan negara.

Majlis dihadiri lebih 200 orang ramai, termasuk ketua-ketua jabatan kerajaan di daerah Hulu Terengganu serta pemimpin masyarakat.

Majlis disudahi dengan makan malam selepas solat Isyak.

 

Tinggalkan komen anda