
Oleh Fauzrina Hj Bulka & Mohd Zakri Chan Abdullah (Melaka)
MELAKA 11 Nov (Malaysiaaktif) — Abu mayat seorang bayi perempuan berusia lebih sebulan yang meninggal dunia dipercayai mangsa dera bapa kandungnya disemadikan di laut petang semalam oleh ibunya.
Bayi itu dilaporkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Besar Melaka ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut kira-kira pukul 3.00 pagi kemarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, setelah bedah siasat dijalankan didapati mangsa mengalami kecedaraan dalaman dengan kesan kecederaan di bahagian kepala kiri serta retak tempurung kepala. Katanya anak bongsu daripada empat beradik itu dipercayai meninggal dunia kurang daripada tempoh 24 jam.
Polis telah ke rumah ibu bapa bayi berkenaan untuk menjalankan siasatan. Hasil siasatan polis telah menahan bapa bayi berkenaan, seorang pengganggur berusia 27 tahun yang didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau. Lelaki tersebut ditahan reman selama 7 hari dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.