Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Mangsa Banjir Perak Menurun, Satu Pusat Pemindahan Ditutup

By 29 November 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

IPOH, 29 Nov  — Mangsa banjir di beberapa daerah di Perak menurun kepada 336 orang daripada 98 keluarga berbanding 392 orang pagi tadi, sementara satu pusat pemindahan di Teluk Intan ditutup, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis.

Beliau berkata mangsa banjir di Hilir Perak iaitu sebanyak 54 orang daripada 16 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pukul 2 petang tadi.

Yahya berkata mangsa banjir membabitkan kawasan Bagan Serai di Parit Lebai Kadir, Parit Mat Keling, Parit Air Hitam Dua, Parit Simpang Empat dan Simpang Lima, Kampung Batu 38, Kampung Batu 40, Kampung Beriah, Parit Abu Hassan Ban dan Parit Ali Kalang menurun kepada 170 orang daripada 55 keluarga.

“Kesemua mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yahya berkata jumlah mangsa banjir di Kampung Matang Tengah, Parit Air Hitam satu dan tiga di Bagan Serai kekal sebanyak 139 orang daripada 33 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.

“Sebanyak 27 orang daripada 10 keluarga terdiri daripada penduduk Ladang Eow Seng dan Kampung Tersusun Tali Air Lima di Parit Buntar ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Simpang Lima,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda