Skip to main content
Berita TempatanSabah

97.24 Peratus Peminjam Bayar Balik Pinjaman YUM

By 7 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Azman Jumat (Sabah)

 KOTA KINABALU, 04 Dis (Malaysiaktif) –? Yayasan Usaha Maju (YUM) mencatat 97.24 peratus kadar bayaran balik pinjaman daripada peminjam.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata pembayaran pinjaman pada kadar peratusan yang amat tinggi merupakan satu lagi perkara positif mengenai perbadanan tersebut.

Katanya, jika prestasi itu dapat dikekalkan secara lestari, beliau yakin masyarakat mampu keluar daripada belenggu mentaliti subsidi atau bantuan percuma daripada kerajaan dan seterusnya menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya.

Menurut Musa, agensi kredit kerajaan negeri itu berada dalam posisi terbaik dalam peranannya menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan wanita melalui aktiviti keusahawanan yang dibiayai yayasan itu.

Selain itu, katanya, YUM boleh memaksimumkan impak program pinjamannya dengan melaksanakan program nilai tambah seperti program peningkatan pengetahuan dan kemahiran. Ini dilakukan melalui latihan pembangunan perniagaan dan keusahawanan, latihan kepimpinan, kemahiran berorganisasi dan lain-lain kemahiran yang berguna kepada ahli-ahlinya.

Beliau juga kagum dengan sikap peminjam yang kebanyakannya terdiri dari golongan wanita mampu membayar pinjaman walaupun tidak mendapat keuntungan besar dalam perniagaan yang dijalankan.

“Dengan sikap begini mudah untuk Yayasan membantu golongan lain yang turut memerlukan bantuan pinjaman.

“Pembayaran balik pinjaman yang konsisten juga akan mengukuhkan lagi keadaan yayasan itu sendiri,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Yayasan Usaha Maju di  sini Jumaat lepas.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YUM Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir berkata sehingga Oktober 2015 sebanyak RM283 juta pinjaman telah diluluskan.

Jelasnya, pinjaman tersebut juga berjaya memberi manfaat kepada lebih 30,000 wanita di luar bandar di seluruh Sabah yang kebanyakannya terdiri daripada golongan ibu tunggal.

Tambah beliau, sebahagian besar daripada mereka bukan sahaja berjaya keluar daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), malah berjaya memiliki perusahaan sendiri dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan di kalangan ahli keluarga serta komuniti mereka.

 

Tinggalkan komen anda