Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 16 Dis (Malaysiaaktif) — Sejumlah113 pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa berjaya mendapat keputusan cemerlang 100% bagi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2015 yang diumumkan kelmarin.
Keputusan diumumkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mahmud Awang yang mewakili Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Pesol Md Saad.
Daripada jumlah itu, seramai 12 pelajar memperoleh 10A, sementara 10 orang memperoleh 9A dan 1B, berbanding hanya seorang mendapat 10A pada 2014,” ujarnya.
Menurut Pesol, pencapaian tahun ini amat memberangsangkan berbanding 2014. Hasil sokongan daripada guru dan ibu bapa, sekolah ini berjaya mencapai keputusan lulus 100%.
Beliau berkata, pendekatan yang digunakan pada tahun ini berbeza daripada tahun lepas, iaitu mengambil kira pelan tindakan yang fokus kepada Plan Intervensi Lima Langkah (PILL).
Pencapaian bagi Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun ini 1.3112, mengatasi pencapaian tahun lalu, iaitu 1.8538. Empat mata pelajaran menyaksikan pencapaian 100 peratus gred A.
Pesol berkata, SM Sains Sultan Mohamad Jiwa merupakan salah sebuah sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kluster. Beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan berharap dengan keputusan cemerlang sebegini mampu mendorong pelajar berusaha supaya mendapat keputusan lebih cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
Seorang pelajar, Mohamad Syafiq Mohd Ridzuan berkata, dia tidak menjangka memperoleh keputusan seperti ini memandangkan dalam peperiksaan percubaan dia hanya mendapat 1A. Pencapaian 10A yang diperoleh sekali gus meletakkannya dalam kelompok 12 pelajar terbaik keseluruhan daripada 113 calon yang mengambil peperiksaan di sekolah itu.
Bagi Muhammad Mu’adz Athif Suhaimi, rahsia kejayaannya mendapat 10 A adalah hasil usaha mengulang kaji pelajaran dan latihan, selain doa restu ibu bapanya.
Seorang lagi pelajar yang mendapat 10A, Noor Syahirah Shuhaimi berkata, tiada yang paling membanggakannya apabila berjaya memperoleh pencapaian terbaik dan dapat menggembirakan an ibu bapa yang mendidiknya selama ini.
Mohamad Najmuddin Ahmad Fauzi yang mendapat 9A dan 1B meletakkan kejayaannya kepada hasil sokongan ibu bapa, guru dan galakan rakan-rakan.
Menurut sumber dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda, PT3 diurus dan dilaksanakan 100 peratus oleh pihak sekolah, termasuk pemilihan dan pengeluaran soalan, menyediakan petugas hingga ke penandaan, manakala Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan skor calon.