
Oleh Muhammad Rizal Redzuan & Charles Sigat
KUCHING, 14 Jan (Malaysiaaktif) — Sebuah syarikat terkemuka dalam pemprosesan pulpa dan membuat kertas dari China berminat membina kilang pulpa dan kertas di Bintulu dengan nilai pelaburan berjumlah AS$4 bilion. Kilang ini nanti dijangka mampu memproses sehingga dua juta tan pulpa, 800,000 tan kertas dan 300,000 tan kertas tisu di Sarawak.
Menurut presiden syarikat Shanghai Taison Pulp-Making Group of China, Wu Mingxi, mereka berminat untuk melabur di Sarawak kerana sumber yang banyak dan faktor kestabilan sosiopolitiknya.
Pelaburan dijangka menjana sekitar RM2 bilion dalam tukaran asing ke Malaysia setiap tahun, selain menyediakan kira-kira 17,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Sehubungan itu, semalam Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menerima kunjungan sekumpulan delegasi pegawai syarikat tersebut di pejabat beliau di sini.
Shanghai Taison Pulp-Making Group of China yang mempunyai lebih 13,000 pekerja di 30 buah kilang di China dan seberang laut, merupakan antara pemain utama dalam sektor pemprosesan kayu balak, pulpa dan kertas.