
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Pelabuhan Kuantan diberi notis selama sebulan untuk membersihkan lambakan bauksit di beberapa kawasan terbabit.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan jika mereka gagal berbuat demikian maka ia akan mengundang lebih banyak masalah kepada isu sedia ada.
Jelasnya, pihak terbabit tidak akan diberikan lesen untuk menguruskan simpanan bauksit di pelabuhan bagi menjalankan operasi penyimpanan mineral itu.
“Tindakan ini merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet untuk mengenakan moratorium selama 3 bulan ke atas aktiviti berkaitan bauksit, ” katanya.
Beliau berkata semua aktiviti perlombongan melibatkan bauksit akan dihentikan bermula 15 Januari sementara kerja baik pulih dilaksanakan.
Tambahnya, permohonan lesen melibatkan perlombongan itu telah dibekukan sejak minggu lepas.
“Kita harap dalam bulan kedua, lambakan bauksit yang ada akan diuruskan dengan baik.
“Selepas ini, AP hanya akan diberikan berdasarkan kapasiti pelabuhan untuk menyimpan bauksit,” katanya lagi.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Sebelum ini, beberapa media melaporkan aktiviti perlombongan mineral itu sebagai punca utama air di Sungai Balok dan air laut Pantai Batu Hitam bertukar menjadi merah semasa hujan lebat tempoh hari.